Malaysia menganjurkan pameran pendidikan tinggi terbesar di Indonesia, sebagai sebahagian usaha menarik lebih ramai pelajarnya dan memperkukuh kerjasama akademik serantau di bawah Kepengerusian ASEAN 2025.
Pameran ‘Mega Ayo Kuliah di Malaysia 2025’ anjuran Education Malaysia Global Services (EMGS) berlangsung di Jakarta Pusat bermula kelmarin hingga hari ini dan Bekasi, Jawa Barat pada 15 Julai.
Menampilkan 21 buah universiti Malaysia, pameran itu mengetengahkan kelebihan Malaysia seperti jarak geografi yang dekat, yuran pengajian berpatutan serta institusi pengajian tinggi diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Pelajar berpotensi turut berpeluang mendapatkan khidmat nasihat dan surat tawaran bersyarat secara langsung.
“Malaysia terus memperkukuh mobiliti akademik serantau menerusi inisiatif seperti Pas Siswazah, yang menawarkan visa pasca pengajian selama setahun kepada graduan dari 32 negara termasuk Indonesia,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Anesee Ibrahim, semasa menghadiri pameran itu.
Beliau turut mengetengahkan platform Mobiliti dan Biasiswa Global ASEAN (ASEAN GEMS), yang menghubungkan pelajar dengan lebih 300 penyedia biasiswa di seluruh ASEAN dengan jumlah komitmen melebihi RM19 juta.
Turut hadir dalam program yang menyasarkan kehadiran 2,000 pengunjung ialah Kaunselor (Pendidikan) di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Dr Hasnul Faizal Hushin Amri.
“Malaysia menawarkan institusi yang diiktiraf antarabangsa, kos sara hidup yang berpatutan serta hubungan budaya yang erat dengan Indonesia, menjadikannya destinasi pendidikan yang ideal dan selesa bagi pelajar Indonesia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin.-15/7/2025