Thursday - 17, July 2025

Menanti pengumuman lantikan hakim…

Share

Tunggu punya tunggu sehingga berita ini ditulis jam 10 malam Rabu…tiada khabar mengenai lantikan hakim muncul dari Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269, yang berlangsung di Istana Negara pada Rabu.

Dengar cerita kemungkinan isu yang kini mencuri perhatian ramai akan terjawab esok,Khamis.

Asalnya ramai menduga pengumuman mengenainya akan dibuat hari ini (Rabu) setelah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beritahu pada Selasa Majlis Raja-Raja dijangka mengumumkan pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman esok,Rabu.

Bagaimana pun tiada kenyataan muncul dari mesyuarat berkenaan kecuali kenyataan umum dari Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Kenyataan itu antara lain kata mesyuarat itu turut membincangkan mengenai pelantikan hakim termasuk Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, selain pelantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Presiden Mahkamah Rayuan serta Ketua Hakim Negara.

Katanya,”majlis juga mengambil maklum cadangan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape atau rokok elektronik di Malaysia.

“Turut dibentangkan ialah Pandangan Hukum Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-126 dan 127, serta Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Tahun 2025,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Majlis turut diberi maklum mengenai keperluan pendaftaran perkahwinan membabitkan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia, serta kertas keputusan Jemaah Menteri berhubung cadangan dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut hak secara berpusat.

Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Selain itu Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.

Juga turut hadir Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri serta wakil premier Sarawak.- 16/7/2025

Lantikan jawatan badan kehakiman oleh Majlis Raja Raja esok,Rabu selari komitmen kerajaan pastikan kebebasan badan itu – PM

Menjelang hari yang ditunggu tunggu esok,Rabu yakni pengumuman Majlis Raja Raja mengenai pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman,Datuk Seri Anwar Ibrahim tegas menyatakan ia selari dengan komitmen kerajaan memastikan kebebasan badan kehakiman dihormati.
.
Perdana Menteri kata perbincangan panjang berhubung perkara terbabit diadakan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung hari ini.

Menurutnya Majlis Raja-Raja dijangka mengumumkan pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman esok, sekali gus menamatkan polemik isu berkenaan

“Pagi ini saya sudah berbincang panjang dengan Majlis Raja-Raja dan saya fikir biarlah mereka yang membuat keputusan dan esok, mudah-mudahan akan ada satu pengumuman yang akan menolak semua persepsi negatif terbabit.

“Insya-Allah, apabila pengumuman dibuat nanti, ia akan membuktikan bahawa kerajaan ini, Kerajaan MADANI benar-benar komited kepada reformasi, termasuk prinsip kebebasan badan kehakiman,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Integriti dan Tadbir Urus 2025 di Putrajaya Selasa.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri mengakui wujud kebimbangan dalam isu terbabit, selain menimbulkan persepsi kononnya beberapa pelantikan ke jawatan penting dalam institusi kehakiman mungkin terjejas.

“Saya boleh beri jaminan, perkara itu tidak berlaku. Saya pasti rakan-rakan saya dalam bidang perundangan menghormati hakikat bahawa kita mesti bekerja berdasarkan undang-undang dan fakta, bukan persepsi.

“….dan soal persepsi biarlah jadi urusan ahli politik. Hanya dengan cara itu kita boleh terus mentadbir dengan baik.

“Saya harap ia tidak menjejaskan pendirian Majlis Peguam, kerana itulah yang mereka percaya dan walaupun saya menafikannya dengan keras, ia masih belum memuaskan hati sebahagian daripada mereka, mungkin kerana permainan politik tertentu,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan komited memastikan kebebasan badan kehakiman dihormati.

“Perkara itu tidak berlaku, saya tidak mahu mereka (Majlis Peguam) pula datang dan berkata, tidak, tidak, anda buat keputusan itu kerana berada di bawah tekanan.

“Azalina tahu perkara sebenar, Ketua Setiausaha Negara juga tahu fakta bahawa tiada sebarang kes atau nama yang dipersoalkan atau dianggap kontroversi pernah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja,” katanya.

Justeru, beliau sekali lagi menegaskan Kerajaan MADANI komited kepada reformasi, termasuk prinsip kebebasan badan kehakiman.

“Selepas lebih dua setengah tahun saya memegang jawatan, saya tidak pernah membincangkan sebarang kes dengan mana-mana hakim, bukan dengan Ketua Hakim, mahupun mana-mana hakim lain. Saya berpegang teguh kepada prinsip kebebasan kehakiman,” katanya. – 15/7/2025

Read more

khabar terbaru