Bermula 1 Julai 2025 lalu , pelaksanaan kadar dan skop baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menyaksikan ekonomi negara memasuki fasa penyesuaian, dengan pengguna dan komuniti perniagaan dijangka berdepan peningkatan kos barang dan perkhidmatan apabila kos operasi dinaikkan oleh pembekal.
SST baharu ini merupakan kesinambungan pengumuman oleh Kementerian Kewangan Malaysia pada 9 Jun lalu, sebagai lanjutan daripada pembentangan Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada Oktober 2024.
Menurut Kementerian Kewangan, pelaksanaan semakan kadar dan peluasan skop SST ini bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara melalui peningkatan hasil kerajaan dan pengembangan asas percukaian – tanpa menambah beban kepada rakyat. Hasil tambahan ini akan digunakan untuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan menjangkakan kutipan SST akan meningkat sebanyak RM5 bilion tahun ini dan RM10 bilion pada 2026.

Antara barangan yang terlibat dalam semakan SST ialah produk bukan keperluan seperti buah-buahan import, salmon dan basikal lumba. Perkhidmatan baharu pula melibatkan sektor penyewaan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Namun begitu, barangan asas seperti beras, ayam, daging lembu, telur, sayur-sayuran serta ikan-ikan seperti selar, tongkol, cencaru dan sardin, termasuk versi import, kekal dikecualikan cukai.
Sistem SST telah dilaksanakan sejak 1972 sebelum digantikan oleh GST pada 2015. Namun, GST dihentikan pada 2018 dan SST dikembalikan, dan kekal sehingga kini.
Beberapa pemain industri telah menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan SST ini.
Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Negeri Sembilan (MAH) menjangkakan harga bilik hotel bakal naik antara 10–15% akibat gabungan SST, kadar gaji minimum baharu dan tarif elektrik yang lebih tinggi. Banyak hotel kini mengehadkan pengambilan kakitangan baharu, membekukan kerja lebih masa dan mengurangkan penggunaan elektrik.

Naib Presiden Persatuan Peruncitan Malaysia (MRCA) pula menggesa kerajaan mengkaji semula pelaksanaan SST, terutama melibatkan perkhidmatan sewaan. MRCA mencadangkan supaya kadar SST diturunkan kepada 2% dan nilai ambang pendaftaran dinaikkan kepada RM2 juta.
The Federation of Sabah Industries (FSI) turut menyuarakan kebimbangan impak SST terhadap Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sabah, yang sedia maklum menanggung kos logistik dan infrastruktur yang lebih tinggi berbanding Semenanjung Malaysia. FSI mencadangkan penangguhan SST kepada 1 Januari 2026.
Nada yang sama turut disuarakan oleh Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia (ACCCIM), yang mencadangkan kadar SST dikurangkan kepada 4% untuk dua tahun pertama, bagi mengurangkan tekanan kepada komuniti perniagaan dan PMKS.
Menurut RHB Investment Bank, kesan pelaksanaan SST terhadap kadar inflasi negara dijangka kecil – sekitar 0.1% hingga 0.2% – kerana banyak item dan sektor dikecualikan cukai. Pada Mei 2025, kadar inflasi negara adalah 1.2%, terendah dalam tempoh 51 bulan.
Selepas mendengar maklum balas pelbagai pihak, kerajaan mengumumkan beberapa penyesuaian pada 27 Jun 2025 untuk mengurangkan beban rakyat dan PMKS, antaranya, buah epal, oren, limau mandarin dan kurma import dikecualikan daripada cukai jualan.
Manakala nilai ambang jualan tahunan untuk perkhidmatan sewaan atau pajakan dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
Untuk rekod, Ini merupakan semakan kedua SST dalam masa kurang dua tahun.
Pada 1 Mac 2024, kadar Cukai Perkhidmatan dinaikkan daripada 6% kepada 8% bagi pelbagai perkhidmatan termasuk komoditi, hartanah, penyenggaraan dan brokeran kapal/kapal terbang. Ia dijangka menyumbang tambahan RM3 bilion pada tahun 2024.
Peralihan daripada GST kepada SST pada 2018 telah menyebabkan kutipan hasil negara susut lebih RM15 bilion setahun. Namun begitu, hasil SST menunjukkan peningkatan ketara – daripada RM27.5 bilion (2019) kepada RM44.7 bilion (2024). Unjuran 2025 mencecah RM51.7 bilion.
Menariknya, pertambahan hasil ini dijangka cukup untuk menampung pelarasan gaji penjawat awam yang bermula Disember 2024 – yang memerlukan perbelanjaan tambahan sekitar RM10 bilion setahun.-15/7/2025