“Jangan bakar apa-apa…” Amaran polis KL kepada peserta perhimpunan pembangkang Sabtu depan

Orang ramai bercadang menyertai himpunan pembangkang ‘Turun Anwar’ minggu depan perlu berkumpul secara aman dan mengelakkan sebarang bentuk provokasi, gesa Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad.
“Nasihat saya, berkumpullah secara aman, jaga kelakuan masing-masing dan elakkan sebarang provokasi atau tindakan yang boleh mencetuskan keadaan tidak diingini.
“Kalau boleh, jangan bakar apa-apa,” katanya pada sidang media hari ini.
Protes anjuran Pemuda PAS itu menjangkakan kehadiran 300,000 peserta yang didakwa bagi mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kononnya atas pelbagai isu.
Usuf berkata pihak polis sudah dimaklumkan mengenai rancangan protes itu yang dijangka berlangsung sekitar Dataran Merdeka.
“Kami sudah membuat persiapan di kawasan mereka rancang untuk berkumpul – dari Sogo ke Dataran Merdeka,” katanya.
Menurutnya, polis mengenal pasti empat lokasi berkumpul utama iaitu Sogo, Masjid Jamek, Masjid Negara dan Pasar Seni, sebelum peserta berarak ke Dataran Merdeka.
“Kita jangkakan sekitar 10,000 hingga 15,000 orang buat masa ini,” katanya sambil memaklumkan peserta dijangka mula berkumpul sekitar jam 11 pagi sebelum berarak ke Dataran Merdeka.
Menurut Usuf, lebih 2,000 anggota polis akan dikerah untuk memastikan ketenteraman awam sepanjang hari.
“Matlamat kami ialah untuk membantu. Kami mahu pastikan semuanya berjalan lancar dan selamat,” katanya.
Ketika ditanya sama ada penganjur sudah memaklumkan secara rasmi kepada pihak berkuasa, Usuf mengesahkannya.
“Polis Dang Wangi sudah menerima notis dan kami akan uruskannya sewajarnya,” katanya.
Usuf juga berkata tiada penutupan jalan dirancang ketika ini, namun ia mungkin dilaksanakan bergantung kepada keadaan.-18/7/2025