Pelantikan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan sah ikut Perlembagaan – Pakar Perlembagaan

Proses pelantikan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang baharu adalah sah dan menepati kehendak serta peruntukan Perlembagaan Persekutuan, sekali gus tidak boleh dicabar di sisi undang-undang.
Menurut Pensyarah Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Datuk Dr Prof Shamrahayu A. Aziz, dua aspek utama perlu diberi perhatian dalam menentukan keabsahan pelantikan iaitu dari segi prosedur pelantikan serta kelayakan individu yang dilantik.
“Dari segi prosedur, pelantikan ini telah dibuat mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan iaitu atas nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong dan selepas rundingan dengan Majlis Raja-Raja. Ini telahpun dipenuhi,” katanya.
Tambahnya lagi, isu kelayakan turut tidak timbul memandangkan semua individu yang dilantik memenuhi kriteria di bawah Perkara 123 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa seseorang itu mestilah warganegara Malaysia dan memiliki sekurang-kurangnya 10 tahun pengalaman dalam bidang kehakiman atau perundangan.
“Jika ada pihak ingin mencabar pelantikan ini, mereka perlu memahami bahawa kedua-dua elemen utama – proses dan kelayakan – telahpun dipenuhi secara menyeluruh,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, amalan atau tradisi pelantikan daripada kalangan Hakim Mahkamah Persekutuan tidak mengikat dari sudut perundangan dan ia tidak bertentangan dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan.
“Oleh itu, saya tidak fikir ini merupakan persoalan undang-undang yang boleh dicabar di mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan disaran menetapkan secara jelas peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dalam proses pelantikan hakim bagi mengelak timbulnya polemik atau kekeliruan berhubung kuasa Perdana Menteri dalam mencadangkan nama kepada Yang di-Pertuan Agong.
Jelas Shamrahayu, persoalan utama yang perlu diberi perhatian kini ialah sejauh mana budi bicara Perdana Menteri dalam mencadangkan calon-calon hakim kepada Seri Paduka Baginda.
Menurutnya, ketidaktentuan mengenai peranan JAC boleh menimbulkan kembali persepsi negatif terhadap ketelusan pelantikan badan kehakiman, khususnya apabila kuasa budi bicara dilihat tidak dikawal oleh sistem semak dan imbang yang berkesan.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Seri Paduka membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, baginda juga memperkenankan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.
Dalam perkembangan sama, Datuk Azizah Nawawi pula dilantik sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak bagi menggantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak yang bakal bersara.-18/7/2025