FOKUS

Langkah berani kurangkan beban hidup rakyat: Terima kasih PMX

Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai beberapa inisiatif berani disambut baik oleh rakyat Malaysia.

Langkah pro-rakyat yang merangkumi pemberian bantuan tunai sekali bayar RM100, pengumuman cuti umum tambahan pada 15 September serta penurunan harga petrol RON95 ke RM1.99 seliter mendapat banyak reaksi positif di media sosial dan ucapan ‘Terima Kasih PMX’ dari pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara.

Untuk rekod, inisiatif Bantuan tunai RM100 berkenaan akan dikreditkan terus ke dalam MyKad dan boleh digunakan di lebih 4,100 premis runcit yang mengambil bahagian turut mendapat sambutan positif.

Hamdiah Yakop berkata, sumbangan RM100 berkenaan sangat membantu dan cukup untuk membeli tiga kampit beras.

Cuti umum tambahan pada 15 September, iaitu hari Isnin sebelum sambutan Hari Malaysia turut menambahkan keterujaan orang ramai.

“Terima kasih Anwar atas cuti umum 15 September,” kata pengguna X, @naya.

Pengguna Facebook, Callo Callo Enya, menyifatkan cuti panjang itu sebagai peluang terbaik untuk melancong.

“Dengan cuti dari 13 hingga 16 September, akhirnya kami boleh bercuti,” katanya.

Perancangan penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter menerusi mekanisme subsidi bersasar turut disambut baik.

“Terima kasih PMX. Harga RON95 pun turun. Anda memang terbaik!” kata Ezhan Arif.

Pengguna Facebook, Shaharizan Hashim berkata, beberapa langkah kerajaan itu bakal memberi manfaat jangka panjang kepada isi rumah.

“Bil elektrik lebih rendah dan harga RON95 lebih murah akan beri impak besar kepada perbelanjaan bulanan kami,” katanya.

Muhamad Maududi pula berkata, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri dan menyifatkan walaupun bantuan berkenaan dilihat sederhana tetapi ia tetap bermakna.

Dalam pada itu, pengguna Facebook, Loh Cheng Heng turut memuji keprihatinan Perdana Menteri terhadap keperluan rakyat.

“Terima kasih kepada PMX kerana memahami beban dan kesusahan hidup yang ditanggung rakyat,” katanya.

Bagi Rosnizan Yakuldin pula, langkah itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan terhadap banyak keluarga.

“Mungkin nampak kecil, tetapi sangat membantu meringankan beban. Ini satu bonus yang amat dialu-alukan untuk 2025. Terima kasih, PMX,” katanya.-23/7/2025

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button