Dewan Rakyat diberitahu lebih 33,000 hilang kerja akibat penutupan operasi kilang, syarikat sejak Januari

Seramai 35,446 individu di Malaysia hilang pekerjaan sepanjang tempoh Januari hingga 4 Julai lalu, susulan penutupan operasi kilang dan syarikat di seluruh negara itu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata jumlah itu adalah berdasarkan data direkodkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Bagaimanapun dalam tempoh sama, beliau berkata Perkeso berjaya melaksanakan 94,262 penempatan pekerjaan membabitkan mereka yang kehilangan pekerjaan serta pencari kerja baru.
“Perkeso melaksanakan program campur tangan awal sebaik saja mengetahui syarikat akan menutup operasi atau mengecilkan saiz tenaga kerja.
“Program itu bertujuan memastikan pekerja terjejas, diberi peluang baru untuk terus menjana pendapatan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Serian , Datuk Seri Dr Richard Riot yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada 22 Julai.
Mengulas lanjut, Sim berkata antara program dilaksanakan ialah penawaran sesi profiling MYFutureJobs bagi pekerja terbabit dan meletakkan mereka di bawah program penempatan pekerjaan semula Perkeso.
(upskilling) serta latihan semula (reskilling) dengan tujuan membantu Orang Berinsurans (OB) yang kehilangan pekerjaan dan memerlukan kemahiran baru untuk meningkatkan kebolehpekerjaan (employability) selaras permintaan pasaran buruh semasa.
“Berdasarkan statistik Perkeso, sepanjang tempoh Januari hingga 4 Julai lalu, seramai 5,403 OB sudah menjalani program upskilling dan reskilling,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Perkeso menyediakan bantuan atau pampasan kepada pekerja terjejas, seperti insurans pekerjaan bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
Ini membolehkan pekerja yang hilang pekerjaan itu menerima bantuan kewangan segera melalui faedah disediakan mengikut syarat kelayakan ditetapkan bawah Akta 800.
“Antara faedah disediakan ialah Elaun Mencari Pekerjaan (EMP); Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA); Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB); serta Elaun Orang Tanggungan (EOT) kepada waris sekiranya OB meninggal dunia, koma dan sebagainya,” katanya.-23/7/2025