YANG VIRAL

Dr Mahathir mahu dibicarakan di mahkamah jika bersalah dalam isu Pulau Batu Puteh

Tun Dr Mahathir Mohamad rela dibicarakan di mahkamah jika didakwa bersalah dalam isu Pulau Batu Puteh yang ‘terlepas’ kepada Singapura.

Bekas Perdana Menteri itu tidak mahu diberi imuniti atas alasan usianya sudah cecah 100 tahun.

Beliau menyatakan demikian menerusi hantaran di media sosial pada Rabu sebagai reaksi pada jawapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ketika menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) Anwar kata usia Dr Mahathir yang mencecah 100 tahun merupakan faktor utama Kabinet tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadapnya dalam isu Pulau Batu Puteh.

Menurut Perdana Menteri, Kabinet juga mengambil kira status Dr Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri.

Dr Mahathir menegaskan beliau tidak mahu diberikan imuniti oleh Anwar dalam isu Pulau Batu Puteh.

Dr Mahathir yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dua kali berkata, beliau rela dihadapkan ke mahkamah sekiranya dituduh bersalah dalam isu tersebut.

Katanya, imuniti untuk orang yang takut ke mahkamah disebabkan sedar dirinya bersalah.

“Semalam di Dewan Rakyat, saya telah dijatuh hukum sebagai bersalah di dalam kes berkait tidak buat rayuan untuk Pulau Batu Puteh. Walaupun saya dijatuh hukum bersalah tiada sebarang tindakan akan diambil kerana faktor umur saya.

“Yang hukum saya bersalah ialah Anwar. Yang umum saya tak perlu diambil tindakan ialah Anwar. Ini bermakna Anwar bukan sahaja Perdana Menteri, beliau juga hakim dan juga pendakwaraya. Begitulah hebat kuasanya. Tetapi Perlembagaan tidak sebut Perdana Menteri boleh jadi pendakwaraya atau hakim.

“Beliau kata umur saya 100 tahun kerana itu saya tidak didakwa walau bersalah. Ini maknanya saya dapat imuniti. Saya tidak mahu imuniti. Jika tuduh saya bersalah, hadapkan saya di mahkamah dan buktikan saya bersalah. Saya tahu saya tak bersalah dan saya mahu buktikan,” ” katanya.

Pulau Batu Puteh adalah sebuah pulau kecil yang terletak di Selat Singapura, di mana terdapat Rumah Api Horsburgh.

Terdapat pertikaian lama antara Malaysia dan Singapura mengenai kedaulatan pulau ini.

Malaysia dan Singapura membawa kes ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mendapatkan keputusan muktamad.

Pada tahun 23 Mei 2008, ICJ memutuskan bahawa Pulau Batu Puteh dimiliki oleh Singapura.

Namun, ICJ juga memutuskan bahawa Batuan Tengah (Middle Rocks) adalah milik Malaysia.

Keputusan ini memberi impak besar kepada sempadan maritim dan industri maritim kedua-dua negara.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Sewaktu RCI itu dibentuk pada Disember 2024 Anwar kata ia bukan bertujuan membalas dendam terhadap Dr Mahathir.-23/7/2025

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button