FOKUS

Akhirnya… ribuan doktor kontrak bakal diterima secara tetap selepas pengumuman Anwar

Pengumuman yang ‘luar biasa’ itu tulisan di facebook Hartal Doktor Kontrak, yang selama ini jadi medan untuk meluahkan rasa dikalangan petugas kesihatan termasuk doktor yang berstatus kontrak.

“Mendapat perkhabaran ramai doktor-doktor kontrak telah mendapat emel tawaran penjawatan tetap selepas pengumuman PMX DS Anwar Ibrahim hari ini.

“Laju #MADANIBekerja

“Harapnya Pekerja-pekerja kesihatan KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA berstatus kontrak yang lain juga akan mendapat tawaran tetap dalam masa terdekat,” antara status yang disiarkan di facebook tersebut.

Menurut Jurucakap Hartal Doktor Kontrak (HDK), Dr Muhammad Yassin, ribuan pekerja kesihatan negara dalam keadaan gembira dan bersemangat untuk berkhidmat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau berkata mereka menyambut baik pengumuman ‘luar biasa’ Perdana Menteri.

“Pengumuman ini sudah tentu akan memberi lebih semangat dan kegembiraan kepada ribuan para pekerja kesihatan bertaraf kontrak.

“Kami menyambut baik pengumuman PMX,” katanya.

Dalam pengumuman khas yang disiarkan secara langsung di televisyen pada hari ini, Perdana Menteri hari ini mengumumkan lebih 4,000 jawatan untuk doktor kerajaan, termasuk pegawai perubatan lantikan kontrak, akan disediakan tahun ini

“Terdapat kebimbangan mengenai beberapa jawatan yang penting untuk rakyat. Contohnya, kekurangan doktor,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pertumbuhan ekonomi meyakinkan membolehkan pelbagai ikhtiar meningkatkan darjat hidup rakyat dilaksanakan.

Katanya, kedudukan ekonomi negara berada di landasan kukuh dan meyakinkan. Ini kerana prestasi ekonomi negara bukan sahaja diakui dalam negara, malah turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengharapkan 4,000 jawatan baharu untuk doktor di fasiliti kesihatan awam akan dijadikan jawatan tetap khususnya kepada doktor kontrak.

Presidennya, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira, berkata pengisian jawatan sedia ada yang masih kosong juga perlu dilakukan segera, termasuk lebih banyak jawatan tetap akan diwujudkan supaya semua baki doktor kontrak dalam sistem dapat diserap ke jawatan tetap.

Selain itu, beliau berkata, apabila jumlah jawatan tetap yang mencukupi diwujudkan, kerajaan wajar mengambil langkah untuk menghapuskan sepenuhnya skim pekerjaan secara kontrak bagi doktor.

“Kerajaan wajar mengembalikan semula dasar pelantikan tetap kepada semua doktor baharu yang memasuki sistem kesihatan awam, seperti yang diamalkan sebelum ini dan seiring dengan sektor perkhidmatan awam lain.

“Langkah penting ini akan membantu mengembalikan keyakinan serta memberi motivasi kepada doktor untuk terus kekal dan menyertai sektor awam, sekali gus memastikan jaminan pekerjaan yang lebih baik dan laluan kerjaya yang lebih jelas.

“Ini akhirnya akan mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan awam negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri hari ini adalah satu langkah yang positif dan amat diperlukan dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan awam negara serta menangani isu lama berkaitan doktor kontrak.-24/7/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button