SUARA PEMBACA

Lebih 700 NADI luar bandar bakal jadi hab e-kesihatan

Lebih 700 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di kawasan luar bandar seluruh negara akan dijadikan sebagai hab e-kesihatan, bagi memperluas akses kepada perkhidmatan telekesihatan melalui rangkaian internet berkelajuan tinggi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kesihatan, bertujuan memperkasa sistem penjagaan kesihatan luar bandar.

“Dengan kemudahan internet yang laju dan teknologi e-kesihatan ini, kita berharap hubungan antara NADI dan klinik kesihatan dapat diperkukuh, sekali gus memudahkan saringan kesihatan asas tanpa perlu hadir ke klinik,” katanya ketika menghadiri Sesi Taklimat Telekesihatan dan Dron untuk Penjagaan Kesihatan Masa Depan di Papar Sabah.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Suriani Ahmad.

Fahmi berkata, kerjasama menggunakan teknologi baharu iaitu penggunaan dron untuk menghantar ubat-ubatan ke klinik kesihatan di kawasan luar bandar masih pada peringkat perintis.

“Beberapa bulan lepas, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyaksikan pelaksanaan penggunaan dron bagi tujuan penghantaran ubat-ubatan di sebuah NADI di Tawau.

“Selepas ini kita akan mengadakan perbincangan untuk mengenal pasti rangkaian antara klinik kesihatan dan NADI. Perjalanannya saya jangkakan berliku, kerana akan melibatkan perbincangan dengan beberapa agensi terutama dari segi penggunaan dron,” katanya.

Beliau berkata, asas pelaksanaan inisiatif itu ialah kelajuan Internet, selain kerjasama erat antara Kementerian Komunikasi, MCMC dan KKM.

“Ada sebahagian NADI masih berada pada 100 Mbps dan sebahagian lain mencapai satu Gbps. Jadi kita inginkan talian lebih pantas. Kedua, perlu ada perbincangan untuk melaksanakan latihan antara KKM dan pengurus-pengurus NADI, bagi membolehkan perkhidmatan telekesihatan dilaksanakan dengan jayanya.

“Fokus kita sebagai permulaan ialah di kawasan luar bandar, kerana di situ banyak manfaatnya. Dari segi pemilihan NADI dan klinik-klinik kesihatan, akan ada perbincangan susulan dengan mengutamakan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan projek telekesihatan ini sebagai transformasi penting dalam sistem kesihatan negara yang memberi penekanan kepada penjagaan kesihatan yang lebih dekat dengan komuniti

“Inisiatif ini membawa penciptaan nilai dan menyumbang kepada pencapaian hasil kesihatan yang lebih baik.

“Ia sejajar dengan aspirasi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.-24/7/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button