
Jualan Rahmah kini di 600 DUN… Kerajaan pastikan bantuan lebih terjangkau – Fahmi
Pengumuman khas Perdana Menteri berhubung bantuan dan inisiatif baharu disifatkan bukti kerajaan cakna serta prihatin terhadap keperluan rakyat, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata ini termasuk memperluas lokasi Jualan Rahmah MADANI yang meliputi 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.
“Ini (dilaksanakan) setelah maklumat diberi kepada Perdana Menteri dalam beberapa perbincangan dengan anggota Jemaah Menteri, menunjukkan beliau cakna, prihatin dan sangat sensitif terhadap keluh-kesah rakyat mengenai isu kos sara hidup,” katanya.
“Peluasan Jualan Rahmah ini adalah usaha berganda kerajaan bagi membantu rakyat berdepan kos sara hidup,” katanya pada Rabu.
“Jadi dalam dua perkara ini (SARA dan Jualan Rahmah), kita lihat fokus Perdana Menteri adalah terhadap isu kos sara hidup,” katanya.
Menurutnya inisiatif utama yang diumumkan termasuk peluasan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan memberi manfaat kepada 22 juta warganegara berusia 18 tahun ke atas dengan peruntukan RM2 bilion.
Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata, melalui program ini, rakyat boleh menebus RM100 yang dimasukkan ke dalam MyKad mereka di lebih 4,000 premis yang menyertai program SARA di seluruh negara untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras dan telur.
“Ini (dilaksanakan) setelah maklumat diberi kepada Perdana Menteri dalam beberapa perbincangan dengan anggota Jemaah Menteri, menunjukkan beliau cakna, prihatin dan sangat sensitif terhadap keluh-kesah rakyat mengenai isu kos sara hidup,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan jualan Rahmah MADANI digandakan kepada RM600 juta berbanding RM300 juta.
Peruntukan itu turut meningkatkan kekerapan jualan MADANI dan menjual pelbagai jenis barangan keperluan harian.
Fahmi berkata, Perdana Menteri juga memberi petunjuk bahawa pengumuman itu hanyalah permulaan kerana pada 31 Julai ini, beliau akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 dan pada Oktober nanti, Belanjawan MADANI 2026 pula dibentangkan di Parlimen.
“Insya-Allah pada bulan Oktober, Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan MADANI 2026 dan di situ, kita akan lihat inisiatif yang lebih mendalam, lebih meluas dan lebih peka kepada isu-isu yang dihadapi oleh rakyat,” katanya.-24/7/2025