
PM: Keputusan tak teruskan tindakan pada Dr M tak langkau AG
Keputusan untuk tidak meneruskan tindakan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu kedaulatan Pulau Batu Puteh tidak melangkaui keputusan Peguam Negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata keputusan itu dibuat Kabinet meskipun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mencadangkan sebaliknya.
“Laporan pasukan khas telah mengusulkan supaya laporan dibuat terhadap Tun Mahathir terhadap pengkhianatan kepada negara dan tindakan susulan diambil.
“Jadi, saya tidak melangkau keputusan peguam negara, ia keputusan Kabinet. Saya telah melihat walaupun kesalahan itu kesalahan khianat yang besar, melihat kepada suasana dan keadaan, kita mengusulkan supaya tidak perlu beliau dibawa ke tengah (peringkat seterusnya),” kata Anwar.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025 di Putrajaya hari ini.
Anwar mengulas kenyataan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat untuk merujuk Perdana Menteri ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen berhubung kenyataannya terhadap Dr Mahathir dan isu Pulau Batu Puteh.
Perdana Menteri turut menegaskan siasatan polis serta RCI yang diketuai oleh bekas ketua hakim negara dan pasukan khas, mengusulkan dengan jelas ada kesalahan besar Dr Mahathir dalam isu terbabit.
Sebelum ini, Anwar berkata kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan tindakan terhadap Dr Mahathir berhubung isu kedaulatan Pulau Batu Puteh yang dibangkitkan dalam RCI atas pertimbangan faktor usia.
Perdana Menteri berkata walaupun beliau percaya kesalahan itu wujud dan besar, Jemaah Menteri memutuskan untuk tidak mengambil tindakan lanjut memandangkan Dr Mahathir kini sudah berusia 100 tahun.
Media sebelum ini juga melaporkan, RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan telah mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.
Tindakan berkenaan merupakan antara yang disyorkan RCI dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
- Bernama -26/7/2025
KEMASKINI : Ini komen ringkas PM pasal Dr M tetap mahu kerajaan dakwanya jika bersalah isu Pulau Batu Puteh…’biarlah begitu’
Gara gara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkeras mahu kerajaan dakwnya di mahkamah jika bersalah kendali isu Pulau Batu Puteh ia mendorong kalangan wartawan hendak tahu apa reaksi Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ditemui wartawan sekepas perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, pada Khamis ,Perdana Menteri hanya beri komen ringkas sahaja.
“Biarlah begitu,” katanya yang bermaksud beliau kekal dengan pendirian tidak mahu ambil tindakan undang undang keatas Dr Mahathir. – 24/7/2025

BERITA SEBELUM INI ….Dr Mahathir mahu dibicarakan di mahkamah jika bersalah dalam isu Pulau Batu Puteh
Tun Dr Mahathir Mohamad rela dibicarakan di mahkamah jika didakwa bersalah dalam isu Pulau Batu Puteh yang ‘terlepas’ kepada Singapura.
Bekas Perdana Menteri itu tidak mahu diberi imuniti atas alasan usianya sudah cecah 100 tahun.
Beliau menyatakan demikian menerusi hantaran di media sosial pada Rabu sebagai reaksi pada jawapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Selasa.
Ketika menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) Anwar kata usia Dr Mahathir yang mencecah 100 tahun merupakan faktor utama Kabinet tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadapnya dalam isu Pulau Batu Puteh.
Menurut Perdana Menteri, Kabinet juga mengambil kira status Dr Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri.
Dr Mahathir menegaskan beliau tidak mahu diberikan imuniti oleh Anwar dalam isu Pulau Batu Puteh.
Dr Mahathir yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dua kali berkata, beliau rela dihadapkan ke mahkamah sekiranya dituduh bersalah dalam isu tersebut.
Katanya, imuniti untuk orang yang takut ke mahkamah disebabkan sedar dirinya bersalah.
“Semalam di Dewan Rakyat, saya telah dijatuh hukum sebagai bersalah di dalam kes berkait tidak buat rayuan untuk Pulau Batu Puteh. Walaupun saya dijatuh hukum bersalah tiada sebarang tindakan akan diambil kerana faktor umur saya.
“Yang hukum saya bersalah ialah Anwar. Yang umum saya tak perlu diambil tindakan ialah Anwar. Ini bermakna Anwar bukan sahaja Perdana Menteri, beliau juga hakim dan juga pendakwaraya. Begitulah hebat kuasanya. Tetapi Perlembagaan tidak sebut Perdana Menteri boleh jadi pendakwaraya atau hakim.
“Beliau kata umur saya 100 tahun kerana itu saya tidak didakwa walau bersalah. Ini maknanya saya dapat imuniti. Saya tidak mahu imuniti. Jika tuduh saya bersalah, hadapkan saya di mahkamah dan buktikan saya bersalah. Saya tahu saya tak bersalah dan saya mahu buktikan,” ” katanya.
Pulau Batu Puteh adalah sebuah pulau kecil yang terletak di Selat Singapura, di mana terdapat Rumah Api Horsburgh.
Terdapat pertikaian lama antara Malaysia dan Singapura mengenai kedaulatan pulau ini.
Malaysia dan Singapura membawa kes ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mendapatkan keputusan muktamad.
Pada tahun 23 Mei 2008, ICJ memutuskan bahawa Pulau Batu Puteh dimiliki oleh Singapura.
Namun, ICJ juga memutuskan bahawa Batuan Tengah (Middle Rocks) adalah milik Malaysia.
Keputusan ini memberi impak besar kepada sempadan maritim dan industri maritim kedua-dua negara.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Sewaktu RCI itu dibentuk pada Disember 2024 Anwar kata ia bukan bertujuan membalas dendam terhadap Dr Mahathir.-23/7/2025
BERITA ASAL SEBELUM INI : Isu Batu Puteh : Faktor usia selamatkan Dr M dari tindakan
Ada soalan besar yang masih berlegar tentang isu pulau Batu Puteh yang kini jadi milik Singapura.
Ia berbangkit dalam sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu hal ini sebagai menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu).
Katanya kabinet pimpinannya telah memutuskan tidak ambil tindakan undang undang terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu itu.
Beliau menjelaskan usia yang mencecah 100 tahun merupakan faktor utama kabinet tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Menurut Anwar kabinet juga mengambil kira status Dr Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri.
“Apakah dia tak salah (dalam isu Pulau Batu Puteh)? Dia salah.
“(Tapi) apakah kita perlu ambil tindakan? Saya dalam mesyuarat Kabinet, saya setuju tak ambil tindakan. Kalau ambil tindakan, anda, Kota Bharu (Takiyuddin) yang akan jerit kata kita tak adil,” kata Anwar.
Pulau Batu Puteh adalah sebuah pulau kecil yang terletak di Selat Singapura, di mana terdapat Rumah Api Horsburgh.
Terdapat pertikaian lama antara Malaysia dan Singapura mengenai kedaulatan pulau ini.
Malaysia dan Singapura membawa kes ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mendapatkan keputusan muktamad.
Pada tahun 23 Mei 2008, ICJ memutuskan bahawa Pulau Batu Puteh dimiliki oleh Singapura.
Namun, ICJ juga memutuskan bahawa Batuan Tengah (Middle Rocks) adalah milik Malaysia.
Keputusan ini memberi impak besar kepada sempadan maritim dan industri maritim kedua-dua negara.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Sewaktu RCI itu dibentuk pada Disember 2024 Anwar kata ia bukan bertujuan membalas dendam terhadap Dr Mahathir.- 22/7/2025



