FOKUS

Himpunan Turun Anwar : Polis kata 18,000 orang hadir

Dari segi faktanya tiada sebarang ‘berita besar’ muncul dari Perhimpunan Turun Anwar yang bikin gamat sekitar beberapa kawasan sibuk di ibukota pada Sabtu khususnya Dataran Merdeka yang menjadi lokasi utama himpunan.

Soalan yang menjadi teka teki ramai pihak sejak perhimpunan 26 Julai ini yang dipelopori oleh Perikatan Nasional bermula lewat pagi hingga ia berakhir lepas jam 5 petang ialah berapa ramai orang yang hadir.

Dalam congak politik jumlah kehadiran sangat penting kerana ia akan menjadi pengikat kata dalam penentu kejayaan aksi ‘siapa lebih kuat’.

Lidah rasmi PAS Harakahdaily mendakwa perhimpunan itu telah mencapai sasaran 300,000 peserta.

Ada kalangan pemerhati bebas meletakan jumlahnya sekitar 20,000 ke 25,000.

“300,000 itu angka yang sudah tersasar jauh dari pandangan mata kasar,”kata seorang pemerhati yang memantau perhimpunan itu dari awal.

Dia menilai melihat dari pelbagai sudut jumlah bawah 35,000 adalah angka yang lebih masuk akal.

Apapun Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata sekurang-kurangnya 18,000 orang menghadiri perhimpunan itu.

“Tiada sebarang provokasi berlaku dan segala-galanya berjalan lancar,” katanya.

Para peserta telah bersurai tidak lama selepas Dr Mahathir selesai berucap.

Mereka berdoa dan menyanyikan lagu Negaraku untuk menandakan berakhirnya perhimpunan.

Kalangan yang sudah ada pengalaman terlibat dan menyaksikan perhimpunan jalanan zaman Reformasi dan sewaktu dengannya dulu sudah tentu dapat bernostalgia melalui himpunan ini.

Formatnya ialah berhimpun dan berarak beramai ramai membawa sepanduk segala macam dan diserikan dengan ucapan panas pimpinan serta jemputan.

Selain bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Munyiddin Yassin antara yang tampil beri ucapan di perhimpunan ialah Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,Presiden Gerakan Dominic Lau,Presiden Pejuang Datuk Sri Mukhriz Mahathir,Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Azmin Ali, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pengarah Komunikasi parti AMANAH Nasional, Khalid Abdul Samad dakwa tindakan pembangkang mengadakan himpunan Turun Anwar dilihat sebagai langkah awal untuk membina momentum menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang.

“Dia (pembangkang) nak wujudkan satu persepsi bahawa rakyat sudah tak suka Datuk Seri Anwar Ibrahim, orang dah mendesak suruh letak jawatan,” katanya yang juga bekas Ahli Parlimen Shah Alam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menilai pihak pembangkang terpaksa turun ke himpunan jalanan kerana ia tiada sokongan untuk buat usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri.

Katanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah bagi jaminan beliau akan arah Speaker Dewan Rakyat bagi keutamaan pada usul itu jika ada.

Beliau persoal kenapa pembangkang tidak guna saluran usul undi tidak percaya.

“Realitinya ialah mereka tidak ada jumlah (Ahli Parlimen yang mencukupi),”kata Saifuddin.- 26/7/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button