
Jerebu Selangor: Ibu bapa dibenar tidak hantar anak ke sekolah
Ibu bapa dan penjaga yang bimbang terhadap kesihatan anak susulan situasi jerebu di Selangor dibenarkan untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah, kata Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin.
Beliau berkata bagaimanapun ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran anak masing-masing kepada pihak sekolah.
“Pengetua dan Guru Besar juga diminta untuk memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa melalui laman sesawang rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membolehkan tindakan segera dan bersesuaian diambil,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jamaliah berkata semua sekolah di Selangor juga telah menerima surat siaran yang menggariskan langkah-langkah perlu diambil sekiranya bacaan IPU di kawasan sekolah mencapai paras tidak sihat iaitu melebihi 100 atau berbahaya.
Beliau berkata langkah itu termasuk menangguhkan aktiviti luar kelas bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua murid berada dalam keadaan baik manakala semua sekolah mesti ditutup dengan serta-merta jika IPU melebihi 200.
Jamaliah berkata setakat hari ini tiada kes penyakit yang dikaitkan dengan fenomena jerebu dilaporkan di Selangor dan dapatan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut mengesahkan tiada kes strok haba direkodkan.
Beliau berkata JKNS akan terus melaksanakan pemantauan rapi terhadap penyakit yang dikaitkan dengan fenomena tersebut.
Dalam pada itu, Jamaliah berkata situasi jerebu di negeri ini menyaksikan empat kawasan mencatatkan penurunan bacaan IPU iaitu Petaling Jaya (83), Klang (80), Banting (81) dan Johan Setia (88) berbanding 150 yang direkodkan sebelum ini.
Beliau berkata kualiti udara di Shah Alam berada pada tahap sederhana itu 90 manakala Kuala Selangor mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu 126, berbanding IPU 87 dan 86 yang direkodkan di kedua-dua kawasan itu semalam.
Jamaliah berkata JAS Selangor juga telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka antara lain bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan kualiti udara sepanjang tempoh cuaca panas dan kering ketika ini.
Beliau berkata surat arahan juga telah dikeluarkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemilik ladang untuk mengambil langkah pencegahan dan kawalan ketat bagi mengelak kebakaran selain meningkatkan kempen kesedaran awam.
“Bagi memperkukuh pelaksanaan di lapangan, rondaan turut dijalankan di kawasan berisiko tinggi selain melaksanakan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) di kawasan hotspot yang dikenal pasti,” katanya.
–BERNAMA – 24/7/2025