
Dua petugas media Sabah terima bantuan Tabung Kasih@HAWANA
Dua petugas media di Sabah yang menghadapi masalah kesihatan menerima bantuan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA sebagai tanda keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan pengamal media.
Jurufotografi Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Vicky Sylvester Matanjang, 52, merupakan salah seorang penerima bantuan selepas mengalami kecederaan serius dalam kemalangan jalan raya pada Mac lalu mengakibatkan enam batang rusuk kiri dan tangan kirinya patah. Beliau kini menjalani rawatan fisioterapi secara berterusan.
“Saya amat bersyukur atas keprihatinan ini,” kata Vicky yang telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak 2007.
Seorang lagi penerima, wartawan Sabah News, Hafizul Andie Zulkarnain, 35, menerima bantuan selepas menjalani pembedahan akibat komplikasi usus berpintal dan apendiks pecah.
Hafizul kini sedang menjalani proses pemulihan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Tabung Kasih@HAWANA dilaksanakan melalui BERNAMA sebagai agensi pelaksana, dan dilancarkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.
“Inisiatif ini adalah simbol empati dan penghargaan terhadap jasa pengamal media,” katanya.
Setakat ini, seramai 463 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada tabung tersebut.
Turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, dan Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.-25/7/2025