
Inisiatif angkat semula industri pelancongan Langkawi… Pakej 3H2M serendah RM500
Berita gembira untuk yang merancang percutian ke Langkawi sebab sekarang ini ada pakej percutian tiga hari dua malam (3H2M) berserta lima aktiviti eksklusif dengan harga serendah RM500 di Langkawi.
Pakej terbaru itu dilancar Tourism Malaysia Wilayah Utara bersama penggiat industri tempatan bagi menghidupkan semula industri pelancongan pulau ini pasca pandemik COVID-19, berkuat kuasa serta-merta.
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Abdul Hadi Che Man, berkata inisiatif itu bagi menyokong kempen Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 dan persediaan ke arah Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
“Pakej ini dibangunkan dengan harga mampu milik termasuk penginapan selama 3H2M dan sekurang-kurangnya lima aktiviti menarik serta eksklusif yang menekankan aspek pelancongan kesihatan secara holistik.

“Pakej ini turut berteraskan pelancongan kesihatan merangkumi kecergasan fizikal dan kesejahteraan mental serta emosi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pakej Pelancongan Langkawi Siri 2 pada malam Rabu.
Abdul Hadi berkata, antara aktiviti ditawarkan ialah lawatan ke Menara Maha, Balai Seni Lukis Negara Cawangan Langkawi, jelajah pulau menggunakan jet ski dan aktiviti menangkap hidupan marin seperti bronok serta ketam.
“Pakej ini dirangka teliti mengambil kira pelbagai aspek hasil kolaborasi bersama pelbagai rakan strategik sepanjang program berakhir hari ini.
“Pelaksanaannya turut diyakini mampu menarik kemasukan pelancong India dan Asia Barat susulan ada penerbangan terus IndiGo dari Bengaluru, India serta Flydubai dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu ke Langkawi,” katanya.-25/7/2025