
Perhimpunan : Pengangkutan awam beroperasi seperti biasa sekitar KL pada Sabtu
Kalau ikut cakap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke siapapun tidak perlu merasa gusar mengenai kemudahan pengangkutan awam sekitar Kuala Lumpur semasa berlangsung Himpunan Turun Anwar anjuran pembangkang pada Sabtu.
Beliau telah membuat kenyataan menerusi laman media sosialnya pada Jumaat ekoran tersebar notis yang mendakwa stesen KTM Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kuala Lumpur akan ditutup mulai jam 9 pagi hingga 5 petang esok, susulan himpunan berkenaan.
Bagaimanapun, KTMB dalam satu kenyataan balas, menafikan sebarang arahan untuk penutupan stesen sebagaimana dakwaan notis tular dalam sosial media itu.
Dalam kenyataan beliau,Loke menegaskan Kerajaan MADANI mempertahankan hak kebebasan berhimpun, termasuk bagi kumpulan pembangkang.
“Kita tidak boleh kembali kepada zaman yang menindas demokrasi sehingga Parlimen pun ditutup.
“Yang lebih penting, pengangkutan awam kita harus terus berfungsi agar majoriti rakyat boleh menjalankan urusan hujung minggu tanpa diganggu oleh perhimpunan pembangkang,” katanya.-
Sementara itu Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad memberitahu beberapa laluan utama di sekitar pusat bandar raya ini dijangka mengalami lencongan trafik berikutan perhimpunan anjuran pembangkang itu di Dataran Merdeka.
Katanya perhimpunan itu melibatkan lima lokasi utama iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan Kompleks SOGO sebelum peserta dijangka bergerak ke Dataran Merdeka.
Beliau berkata lencongan kenderaan akan dilaksanakan bergantung kepada keadaan semasa bagi memastikan kelancaran trafik serta keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Antara laluan berkemungkinan terlibat dengan pelaksanaan lencongan termasuk Jalan Maharajalela (susur ke Jalan Syed Putra), Jalan Kinabalu (U-turn Public Bank), Bulatan Sultan Mohamad, Jalan Kinabalu (susur ke Terowong Bukit Aman dan Bulatan Dato’ Onn) serta bahagian kiri dan kanan atas Bulatan Dato’ Onn.
“Turut dijangka terlibat ialah laluan dari arah Jalan Parlimen ke Bulatan Dato’ Onn, Jalan Sultan Salahuddin ke Bulatan Dato’ Onn, Jalan Kuching (susur ke Jalan Sultan Ismail), Jalan Kinabalu dari arah Bulatan Segambut dan Masjid Negara ke Bulatan Dato’ Onn,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Usuf menasihati orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan di pusat bandar serta mematuhi arahan anggota polis trafik yang bertugas di lokasi.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Balai PolisTrafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.
— 25/7/2025
25/7/2025