
Pertemuan di Putrajaya: Thailand dan Kemboja setuju gencatan senjata
Usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meredakan ketegangan dan konflik bersenjata antara dua negara anggota ASEAN yang bersempadan Thailand dan Kemboja telah mencapai kejayaan.
Pada petang Isnin…Putrajaya menjadi lokasi Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai bersemuka dengan Anwar bertindak sebagai hos, Pengerusi ASEAN dan saksi kepada perbincangan bersejarah itu.
Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat bermula tengah malam ini.
Krisis dan ketegangan berpunca dari isu sempadan yang wujud sejak bertahun tahun lamanya telah meningkat sejak insiden pada 28 Mei apabila pasukan tentera Kemboja dan Thailand bertempur di kawasan Preah Vihear.

Ekoran krisis berdarah itu di sepanjang sempadan dalam wilayah Kemboja, krisis kemanusiaan semakin meruncing dengan lebih 80,000 penduduk terpaksa dipindahkan.
Ikut laporan setakat ini lima anggota tentera dan lapan orang awam terkorban.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN telah main peranan diplomasi yang ligat untuk redakan ketegangan dan elak krisis dari terus merebak.
Mesyuarat khas antara kedua-dua pemimpin negara di Putrajaya bermula pada jam 3.15 petang dan berakhir kira-kira dua jam kemudian.
Pada sidang media bersama selepas mesyuarat itu, Anwar berkata, kedua-dua negara bersetuju melaksanakan beberapa langkah susulan.
“Ia termasuk mengadakan mesyuarat tidak rasmi antara komander wilayah satu dan dua bagi pihak Thailand dan wilayah empat serta lima bagi pihak Kemboja bermula jam 7 pagi, 29 Julai 2025.
“Selain itu, mesyuarat bersama atase pertahanan yang akan dipengerusikan ASEAN akan diadakan jika dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Anwar berkata, kedua-dua negara turut bersetuju mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Umum (GBC) pada 4 Ogos ini yang akan dihoskan oleh Kemboja.
Katanya, kedua-dua pihak juga bersetuju menyambung semula komunikasi secara langsung antara Perdana Menteri, Menteri Luar dan Menteri Pertahanan masing-masing.
“Menteri Luar dan Menteri Pertahanan Malaysia, Kemboja dan Thailand diarahkan untuk membangunkan mekanisme terperinci bagi pelaksanaan, pengesahan dan pelaporan berkaitan gencatan senjata.
“Mekanisme ini akan menjadi asas kepada keamanan berkekalan dan kebertanggungjawaban bersama,” katanya.
Perdana Menteri berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia bersedia menyelaras pasukan pemantau bagi mengesahkan dan memastikan pelaksanaan gencatan senjata.
Jelasnya, Malaysia juga akan berunding dengan negara anggota ASEAN lain untuk turut serta dalam usaha pemantauan ini, mencerminkan komitmen serantau dalam menyokong keamanan di lapangan.
“Perdana Menteri Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai menyatakan pendirian dan kesediaan mereka untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan mengembalikan keadaan kepada normal,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut menghubungi kedua-dua pemimpin berkenaan dan menggesa supaya penyelesaian secara aman dicapai.
“Pihak China pula terus menjalin hubungan rapat dengan Kemboja, Thailand, Malaysia serta negara berkaitan lain untuk menggalakkan dialog, gencatan senjata dan pemulihan keamanan.
“Kehadiran dan kerjasama semua pihak mencerminkan komitmen bersama terhadap keamanan, dialog dan kestabilan serantau,” katanya.- 28/7/2025
Kemaskini : Malaysia akan terus berhubung dengan Kemboja dan Thailand, cadang proses damai
MALAYSIA akan terus berhubung dengan pemimpin Kemboja dan Thailand bagi mencadangkan proses damai susulan konflik sempadan membabitkan kedua-dua negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai telah merakamkan penghargaan kepada beliau atas ikhtiar mencadangkan proses damai dan gencatan senjata dalam konflik terbabit.
“Ada tembak-menembak lagi (di sempadan Thailand dan Kemboja). Jadi, saya terus minta Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan hubungi Kementerian Luar dan kalau boleh saya akan terus hubungi mereka (pemimpin dua negara) sekurang-kurangnya hentikan dulu (pertempuran di sempadan),” kata beliau.
Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025 hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Semalam, Anwar berkata kerajaan Malaysia tidak memandang ringan konflik yang sedang berlaku antara Thailand dengan Kemboja serta kesannya terhadap negara ini.
Bernama melaporkan Perdana Menteri menyambut baik isyarat positif serta kesediaan yang ditunjukkan Bangkok dan Phnom Penh dalam mempertimbangkan pelaksanaan gencatan senjata bagi mengelakkan konflik yang lebih buruk di sempadan kedua-dua negara.
Media sebelum ini melaporkan bahawa tentera Thailand dan Kemboja bertempur pada Khamis lepas di kawasan pertikaian sempadan bersama, dengan kedua-dua pihak saling menuding jari mengenai pihak yang dianggap sebagai pencetus konfrontasi terbaharu itu.
Ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara berkenaan meningkat sejak 28 Mei susulan insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Kedua-dua negara telah berselisih pendapat mengenai isu sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad, dan pertikaian ini terus menjejaskan hubungan diplomatik mereka.
— BERNAMA – 26/7/2025
Semangat ASEAN… Malaysia sedia bantu damaikan Thailand dan Kemboja – PM Anwar
Ada isyarat positif dari kedua-dua negara ASEAN yang berperang untuk berdamai iaitu Thailand dan Kemboja selepas dihubungi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar atas kapasiti Pengerusi ASEAN merayu agar pemimpin Thailand dan Kemboja melaksanakan gencatan senjata bagi mengelakkan konflik yang lebih buruk, selain membuka ruang kepada dialog damai dan penyelesaian secara diplomatik.
Beliau memaklumkan perkara itu ketika menghubungi Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, permintaan itu dibuat bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.
“Dalam perbualan tersebut, saya menyambut baik isyarat positif dan kesediaan yang ditunjukkan oleh pihak Bangkok dan Phnom Penh untuk mempertimbangkan langkah ini.
“Atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, Malaysia bersedia untuk membantu dan memudahkan proses ini atas semangat perpaduan ASEAN dan tanggungjawab bersama,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kekuatan ASEAN terletak pada solidaritinya, dan keamanan mesti menjadi pilihan kolektif yang tidak berbelah bahagi demi kesejahteraan semua negara anggota.
“Kita harus memastikan agar sempadan tidak menjadi punca konflik yang boleh menjejaskan kestabilan rantau ini. Malaysia komited untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara dan penghubung antara semua pihak yang terlibat,” ujarnya lagi.
Ketegangan di sempadan antara Kemboja dan Thailand menjadi perhatian serantau baru-baru ini, dan usaha diplomatik seperti yang dilakukan oleh Malaysia diharapkan dapat meredakan situasi serta mengukuhkan perpaduan ASEAN.-25/7/2025