
Amerika puji kejayaan PM Anwar jadi orang tengah rundingan gencatan senjata Thailand dan Kemboja
Kejayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi orang tengah hingga Thailand dan Kemboja bersetuju pada gencatan senjata tanpa syarat dalam pertemuan di Putrajaya petang Isnin telah mengundang pujian dan penghargaan dari Amerika syarikat.
Setiausaha Negara Amerika, Marco Rubio menerusi satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Negara Amerika, lewat malam tadi kata “kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, atas kepimpinan beliau dan kerana menjadi tuan rumah rundingan gencatan senjata ini,”
Beliau menegaskan Amerika menyambut baik gencatan senjata Thailand-Kemboja yang diumumkan, petang Isnin.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, menghadiri mesyuarat khas di Kompleks Seri Perdana,Putrajaya itu yang bermula jam 3 petang.
Ia merupakan pertemuan secara bersemuka pertama antara kedua-dua pemimpin itu sejak ketegangan tercetus antara kedua-dua negara jiran berkenaan pada 24 Julai lalu.
Mesyuarat itu berlangsung hampir dua jam setengah.
Turut hadir ialah Duta AS ke Malaysia, Edgard Kagan, dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
AS bertindak sebagai penganjur bersama mesyuarat itu, manakala China hadir sebagai pemerhati bagi menyokong penyelesaian damai terhadap situasi yang sedang berlaku.
Rubio turut menggesa Thailand dan Kemboja agar mematuhi sepenuhnya komitmen mereka untuk menamatkan konflik dan mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
“Presiden Donald Trump dan saya komited untuk menghentikan keganasan serta-merta, dan kami menjangkakan Kerajaan Kemboja serta Thailand akan menunaikan sepenuhnya komitmen mereka bagi menamatkan konflik ini,” katanya.
Rubio menegaskan AS akan terus komited dan terbabit dalam proses yang dianjurkan bersama Malaysia bagi menamatkan konflik berkenaan.- 28/7/2025