SUARA PEMBACA

Doa Qunut Nazilah bersifat politik cemari kesucian ibadah

Tindakan membaca doa Qunut Nazilah dalam satu perhimpunan yang menyasarkan Perdana Menteri baru-baru ini, disifatkan sebagai satu perbuatan mencemari kesucian dan tujuan sebenar ibadah dalam Islam.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil menegaskan, doa merupakan satu bentuk ibadah yang agung dan hendaklah disampaikan dengan penuh adab, hikmah serta keikhlasan. ‘

Beliau menekankan bahawa ibadah tersebut tidak seharusnya dipengaruhi emosi atau agenda politik.

“Islam sememangnya menggalakkan doa untuk kebaikan negara, tetapi bukan dengan cara merendahkan maruah seorang pemimpin Muslim yang memegang mandat sah di sisi undang-undang dan proses demokrasi.” katanya menerusi satu kenyataan.

Selain itu, Datuk Dr Mohamed Azam turut mengkritik perbuatan mempamerkan patung simbolik yang menyerupai Perdana Menteri sedang dihukum sebat. Tindakan itu dianggap keterlaluan dan bertentangan dengan nilai kesopanan serta tatasusila masyarakat Malaysia.

Mengulas mengenai hak berhimpun, beliau menjelaskan bahawa meskipun Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman, hak tersebut perlu disertai dengan tanggungjawab moral, khususnya dalam konteks masyarakat majmuk dan beragama seperti Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam agar menyampaikan pandangan dan kritikan secara berakhlak dan beradab, tanpa mencetuskan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana individu.

“Kefahaman agama yang mendalam serta pengamalan adab dalam perbezaan pendapat amat penting untuk membina sebuah masyarakat yang berilmu, bertamadun dan saling menghormati,” katanya.-30/7/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button