
Perang Thailand-Kemboja… ASEAN sedia hantar pasukan pengaman
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ASEAN bersedia memainkan peranan yang lebih besar, termasuk menghantar pasukan pengaman jika diperlukan, demi memastikan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja kekal terpelihara.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Jakarta selepas menamatkan lawatan kerja dua hari ke Indonesia.
“Atase pertahanan semua negara ASEAN diminta untuk pantau sempadan dan kalau difikirkan perlu, beberapa negara telah menyatakan persetujuan untuk mengirim pasukan pengaman sekiranya atau seandainya difikirkan perlu.
“Setakat ini saya tidak fikirkan begitu kerana kesediaan kedua-dua negara untuk mencari penyelesaian yang baik.” jelasnya.
Perdana Menteri turut memaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengesahkan kepadanya bahawa gencatan senjata yang dicapai itu dipatuhi, walaupun pada awalnya tertangguh beberapa jam.
Anwar turut menegaskan negara anggota ASEAN, termasuk Indonesia, akan terus memberi bantuan bagi memastikan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata yang telah disepakati itu berjalan dengan lancar.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, mengetuai delegasi ke Thailand dan Kemboja bagi mengadakan perbincangan diplomatik dengan kedua-dua negara.
Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan Markas ATM berkata, satu mesyuarat antara Komander-Komander Serantau kedua-dua negara turut berlangsung pada jam 10 pagi tadi, dengan pihak terbabit mencapai persetujuan semula dalam beberapa perkara.
“Walaupun gencatan senjata dilaksanakan, beberapa pertempuran kecil turut dilaporkan sejurus selepas ia dikuatkuasakan.
“Namun begitu, selepas satu mesyuarat antara Komander-Komander Serantau, kedua-dua negara terbabit mencapai persetujuan semula untuk mengekalkan perjanjian gencatan senjata.
“Selain melarang serangan terhadap orang awam, menghentikan sebarang penambahan kekuatan tentera, melarang pergerakan pasukan ketenteraan, memudahkan pemulangan anggota yang tercedera dan terkorban.
“Persetujuan juga dicapai untuk menubuhkan pasukan penyelarasan yang terdiri daripada empat wakil dari setiap pihak dan menunggu perbincangan serta keputusan lanjut berdasarkan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang dijadualkan berlangsung pada 4 Ogos ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Kejayaan perjanjian gencatan senjata tanpa syarat yang dicapai melalui Mesyuarat Khas di Putrajaya semalam antara Thailand dan Kemboja, disifatkan sebagai pencapaian penting bagi ASEAN.
Ia sekali gus membuktikan peranan blok itu dalam menjaga keamanan dan kestabilan serantau.-30/7/2025