
16 program berimpak tinggi diluluskan tingkat kesejahteraan masyarakat India – PMO
Kerajaan telah meluluskan sebanyak 16 program berimpak tinggi untuk manfaat masyarakat India sehingga bulan ini.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua program tersebut telah diluluskan melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Menurut PMO, program-program tersebut memberi tumpuan kepada tiga bidang utama pembangunan masyarakat.
Katanya, ia merangkumi pendidikan dan latihan; kerohanian dan kebudayaan serta kesejahteraan sosial.
“Langkah ini mencerminkan tekad berterusan Kerajaan MADANI dalam mengangkat peranan masyarakat India sebagai rakan pembangunan negara menerusi pendekatan yang inklusif, progresif dan berteraskan impak menyeluruh,” katanya dalam kenyataan itu pada Rabu.
Mengulas lanjut, PMO memberitahu, terdapat beberapa permohonan program yang tidak dapat diluluskan.
Jelasnya, ia melibatkan program berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bertindih serta berada di bawah bidang kuasa dan selengaraan Majlis TVET Negara.
Selain itu, PMO memaklumkan, beberapa lagi cadangan program tidak dapat diluluskan kerana bertindih dengan inisiatif sedia ada di bawah beberapa kementerian termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS); Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Justeru, PMO meminta supaya penyelarasan dilakukan bagi mengelak pertindihan peranan dan penggunaan sumber.
“Kerajaan MADANI akan terus memperhalusi dan menilai pelaksanaan beberapa lagi inisiatif strategik dalam masa terdekat bagi memastikan masyarakat India terus menerima manfaat pembangunan yang adil, saksama dan mampan.
“Kerajaan teguh dengan prinsip bahawa setiap lapisan rakyat termasuk komuniti India, berhak menikmati peluang dan kemajuan negara secara menyeluruh selaras dengan semangat Malaysia MADANI,” katanya.-31/7/2025