FOKUS

PM Anwar bentang RMK13 di Dewan Rakyat tengah hari ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat jam 12 tengah hari ini.

Dalam kenyataan menerusi Facebook, beliau berkata, RMK13 akan membawa natijah terbaik kepada rakyat serta meletakkan asas yang kukuh untuk Malaysia melangkah ke dekad yang lebih gemilang.

“Ayuh kita lakar semula pembangunan negara, berpaksikan rakyat dan berteraskan nilai ihsan, keadilan serta kemanusiaan.

“Diharapkan kita berupaya menggapai langit, namun tetap teguh mengakar ke bumi,” katanya.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan RMK13 pada 12 tengah hari, sebaik selesai sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dan sesi soal jawab lisan yang bermula pada 10 pagi.

Selepas pembentangan RMK13, persidangan Dewan Rakyat akan ditangguhkan sebelum sesi perbahasan RMK13 dijangka mengambil masa lapan hari mulai Isnin depan, diikuti dengan jawapan daripada menteri-menteri selama empat hari bermula 18 Ogos.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Perdana Menteri memaklumkan beliau telah menerima penyerahan rasmi dokumen RMK13, menandakan berakhirnya fasa penyediaan rancangan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Anwar berkata, RMK13 disusun sebagai pelan pembangunan menyeluruh dengan fokus kepada pengangkatan martabat rakyat secara adil dan saksama tanpa meminggirkan mana-mana kumpulan.

“Penyediaannya membabitkan sesi libat urus meluas bersama pelbagai pemegang taruh merentasi sektor, latar belakang dan wilayah.

“Ini termasuk kerajaan-kerajaan negeri, demi memastikan suara rakyat benar-benar diangkat dalam perancangan masa depan negara.

“Insya-Allah, saya akan membentangkan usul RMK-13 di Dewan Rakyat esok (hari ini). Kerajaan MADANI amat mengalu-alukan perbahasan dan cadangan konstruktif daripada semua Ahli Parlimen demi memperkukuh dasar dan hala tuju yang digariskan,” katanya.-31/7/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button