
PRN Sabah: Hajiji nafi kerjasama GRS-PH belum muktamad
Keputusan mengenai kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 dibuat secara bersama antara pemimpin parti komponen GRS sebelum diputuskan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor turut menafikan dakwaan kononnya beliau membuat keputusan sendiri berhubung kenyataannya, baru-baru ini.
“Tidak, kita telah berbincang dalam GRS, dengan semua presiden parti.
“Orang cakap jangan kamu terlampau dengar, politik di Sabah ini terlampau banyak orang yang pandai,” katanya.
Hajiji diminta mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya kenyataan Hajiji berhubung kerjasama dengan PH dibuat beliau sendiri.
Pada Ahad lalu, Hajiji menyatakan GRS akan terus bekerjasama dengan PH, tetapi mahu GRS mengetuai kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Sementara itu, ditanya bila Majlis Tertinggi GRS mengadakan mesyuarat, beliau berkata akan memanggil mereka tidak lama lagi.
“Saya panggil nanti, mana saya boleh beritahu sekarang, belum lagi,” katanya.-31/7/2025