
BFF Labuan: Lonjak pelancongan, catat lebih 100,000 pengunjung
Borneo Flora Festival (BFF) Labuan 2025 melabuhkan tirainya hari ini, dengan catatan lebih 100,000 pengunjung hadir sepanjang festival berlangsung selama lima hari.
Jumlah itu sekali gus melebihi sasaran awal yang diunjurkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, kehadiran warga Labuan sendiri selain para pelancong dari serantau borneo serta semenanjung, memeriahkan sambutan BFF@ Labuan pada kali ini.
Selain penganjuran festival itu melonjakkan sektor pelancongan pulau itu, limpahan ekonomi turut dirasai khususnya para peniaga, premis perhotelan, pengusaha restoren dan kedai makan serta perkhidmatan pengangkutan.
“Tentunya ekonomi ini akan kita kembangkan lagi, bukan sahaja pelancongan. Kita lihat peluang-peluang lain dari sudut ekonomi jingga dan juga ekonomi biru. Insya-allah, saya yakin Labuan ada potensinya.
Kalau kita bekerjasama, semuanya akan menjadi kenyataan,” kata Datuk Seri Dr. Zaliha kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan penutupan BFF@Labuan 2025 di perkarangan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa.
Sepanjang festival itu, Labuan menjadi tumpuan pelancongan tropika yang mengangkat keindahan flora Borneo dan kekayaan biodiversiti rantau tersebut.
Lebih 250,000 flora tropika menghiasi kawasan festival ini dengan beberapa spesis pokok yang jarang ditemui turut dipamerkan sekali gus mengangkat potensi Labuan sebagai destinasi pelancongan berkonsepkan alam flora dan budaya di rantau borneo.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Zaliha turut menyampaikan penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan penganjuran festival ini, khususnya Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Perbadanan Labuan, Perbadanan Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Turut menjayakan penglibatan agensi dari Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Pontianak Kalimantan, Indonesia serta Jabatan dan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) di Labuan.-31/7/2025