Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi beranggapan PAS kini ibarat gila talak susulan hasrat parti itu untuk bekerjasama semula menerusi platform Perikatan Nasional (PN).
Katanya, Umno setakat ini belum terbuka hati untuk menjalinkan kerjasama semula dan menasihati parti Islam itu supaya tidak bermimpi di siang hari.
“Mungkin ada pihak yang telah kegilaan talak kerana mereka pernah berada dalam kerajaan dahulu. Alangkah sakitnya apabila mereka mempunyai kerusi yang banyak tetapi mereka terus jadi pembangkang.
“Jadi kita berharap mereka terus berdoa untuk tidak melakukan kekencingan (penipuan) sekali lagi kepada Umno, menyebabkan Umno tidak langsung membuka jalan itu (jalin kerjasama semula) setakat ini.
“Setakat ini Allah belum buka lagi hati kami untuk melakukan kerjasama dengan mereka. Kami minta mimpi siang mereka itu dapat dinoktahkan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis penyerahan sumbangan Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di Putrajaya, Rabu.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, parti itu tidak menolak untuk bekerjasama semula dengan Umno di sebalik sejarah ‘pahit’ hubungan mereka sebelum ini.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim dipetik berkata, sebarang kerjasama dengan Umno perlu melalui platform PN yang turut dianggotai Bersatu, selain menjelaskan PAS tidak pernah mengetepikan agenda penyatuan ummah.
‘Umno elak dipatuk ular dua kali tempat sama’
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Umno, Lokman Noor Adam berkata, biarpun PAS terbuka bekerjasama dengan Umno, namun parti itu mengambil sikap tidak sesekali dipatuk ular di tempat sama dua kali.
Portal Utusan Malaysia memetiknya sebagai berkata, Umno sudah memberi peluang kepada PAS untuk bersama dan sudah ‘bertahalufsiasi’ atau bekerjasama dengan kepentingan Islam dan Melayu dengan parti itu.
Malangnya, dia berkata, PAS mengkhianati Umno ketika bermula Muafakat Nasional (MN) apabila mereka menubuhkan Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu tanpa pengetahuan UMNO.
“Pengkhianatan ini diteruskan dengan sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap Muhyiddin Yassin dan mereka tidak melakukan apa-apa apabila Muhyiddin, menikam belakang dan cuba menganiaya pimpinan kita.
“(Jadi), tidak ada sebab sekarang ini untuk Umno berganjak meninggalkan kerajaan perpaduan dan bersama PAS.
“Pendirian kita teguh. MKT dan ahli parti yang hadir perhimpunan agung Umno elah pun memutuskan untuk kekal bersama dengan Pakatan Harapan (PH) sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya.-6/12/2023