TAHUKAH ANDA

“Inilah pentingnya kita jaga air Johor, aset Johor sendiri…” – TMJ

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan baginda akan memantau dan cuba menyelesaikan masalah air yang berlaku di beberapa kawasan di Johor dengan segera.

Dalam hantaran di aplikasi X, baginda menegaskan adalah penting bagi negeri Johor menjaga air dan asetnya sendiri, bukan berada di bawah syarikat yang dilantik kerajaan persekutuan.

“Saya akan pantau dan cuba selesaikan dengan segera. Inilah pentingnya kita jaga air Johor, aset Johor sendiri dan bukan berada di bawah syarikat yang dilantik oleh (kerajaan) Federal (persekutuan).

“Doakan kewangan negeri meningkat dimana kita boleh beli saham air Johor, dan meletakkan air negeri bawah jagaan kerajaan negeri. Insha-Allah,’’ tegas baginda menerusi hantaran di X semalam.

Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian bagi membalas muatnaik hantaran seorang pengguna media sosial dikenali sebagai BroherhoodJOHOR yang memaklumkan keadaan di Pontian yang tidak mendapat bekalan air yang sempurna.

“Salam Tunku, dekat Pontian dah dekat 4 hari tak dapat bekalan air yang sempurna, Isnin dan Selasa ada notis tutup, Rabu lepas beberapa jam baru notis keluar kata paip ada masalah dan hari ni, Khamis, boleh kata takde langsung air, mohon bantuan DYAM Tunku,’’ katanya.

Hantaran balas Pemangku Sultan Johor mendapat reaksi pelbagai daripada pengguna media sosial, yang turut melaporkan mengenai masalah air yang sama termasuk tekanan rendah dan air keruh.

Media sebelum ini melaporkan lebih 30,000 akaun pengguna di beberapa kawasan sekitar bandar raya Johor Bahru termasuk Tebrau mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 26 jam, bermula 15 Julai lalu, berikutan kerja-kerja penyelenggaraan Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Iskandar, Pasir Gudang.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn Bhd Anuar Abdul Ghani berkata kerja baik pulih dan penyelenggaraan tersebut melibatkan kesemua instrumen penting di loji berkenaan bagi memastikan kelestarian sistem rawatan air serta bekalan yang lebih stabil untuk jangka masa panjang.-1/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button