
Tiada bukti kaitkan anak VIP, menteri dengan kes kematian Zara Qairina
Polis mengesahkan setakat ini tiada sebarang bukti yang mengaitkan pembabitan anak orang kenamaan (VIP) termasuk ahli keluarga menteri dan pihak Istana Negeri Sabah, dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, di sini.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya komited memastikan setiap aspek diteliti tanpa sebarang kompromi.
“Siasatan polis setakat ini tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan pembabitan mana-mana anak VIP dalam kes berkenaan.
“PDRM menegaskan bahawa tiada kompromi atau perlindungan akan diberikan kepada mana-mana individu yang disyaki terbabit, tanpa mengira latar belakang mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menjelaskan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan adil demi memastikan keadilan kepada mangsa serta keluarganya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan proses keadilan.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan yang mengaitkan anak menteri, VIP dan individu berpengaruh dengan kematian pelajar terbabit, hingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
Sementara itu juga, semalam Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun menjelaskan kertas siasatan kes itu sudah dihantar oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah ke Bukit Aman untuk diperhalusi sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Seramai 60 saksi termasuk guru dan pelajar SMKA Tun Datu Mustapha dirakam keterangan bagi melengkapkan siasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah berkenaan.-2/8/2025