
Sultan Ibrahim disambut Presiden Vladimir Putin sempena lawatan negara di Kremlin
DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim diberikan sambutan negara di Kremlin Moscow pada hari ini (6 Ogos), bersempena lawatan negara Seri Paduka Baginda ke Persekutuan Rusia.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 3 petang (waktu tempatan Rusia) disambut mesra oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Vladimir V Putin, Presiden Persekutuan Rusia di Dewan St George.
Sultan Ibrahim yang berangkat tiba di Moscow, semalam (5 Ogos), melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia yang pertama mengadakan Lawatan Negara ke Persekutuan Rusia sejak tertubuhnya hubungan diplomatik pada tahun 1967.
Seusai selesai Istiadat Sambutan Negara, Seri Paduka Baginda berkenan mengadakan pertemuan rasmi bersama Presiden Putin.
Mengiringi bersama Seri Paduka Baginda ialah YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan yang juga Menteri Pengiring; Dato’ Seri Amran Mohd Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri; Tan Sri Dato’ Dr Azmi Rohani, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara dan TYT Dato’ Cheong Loon Lai, Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Rusia.
Selepas selesai pertemuan, Seri Paduka Baginda kemudian berkenan berangkat ke majlis persembahan cenderahati dengan diiringi Presiden Putin.
Presiden Putin turut menghoskan Seri Paduka Baginda dalam satu majlis santapan negara di Chamber of The Facets.- 6/8/2025
YDP Agong tiba di Moscow
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat tiba di Moscow pada Selasa untuk memulakan Lawatan Negara enam hari ke Rusia.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo2 pada 2.20 petang (7.20 malam waktu Malaysia).
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut oleh Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia Valery Falkov dan Pemangku Pengarah Jabatan Protokol Negara Kementerian Hal Ehwal Luar Rusia Georgiy Kuznetsov.
Turut menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Rusia Alexander Pankin dan Duta Besar Rusia ke Malaysia Nayl Latypov.- 5/8/2025
Sultan Ibrahim lakar sejarah sebagai Agong pertama lakukan lawatan negara ke Rusia
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan melakar sejarah bila berangkat mengadakan lawatan negara ke Rusia dari 5 hingga 10 Ogos ini atas jemputan Presiden negara itu, Vladimir Putin.

Baginda akan merupakan Ketua Negara Malaysia yang pertama mengadakan lawatan negara ke Rusia sejak tertubuhnya hubungan diplomatik sejak 1967.
Lawatan negara baginda itu dimaklum oleh Istana Negara dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.
Menurut kenyataan itu lawatan itu juga melambangkan peranan penting Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara.
“Lawatan ini bukan sahaja akan memperkukuhkan hubungan dua hala sedia ada, malah akan membuka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pendidikan tinggi,
teknologi dan inovasi serta hubungan sesama rakyat,” katanya.
Semasa berada di Moscow, Yang di-Pertuan Agong akan diterima Presiden Putin dalam satu istiadat Sambutan Negara di Kremlin, diikuti satu pertemuan rasmi di antara kedua-dua ketua negara.
Sultan Ibrahim juga bakal berangkat menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Rusia.
Kenyataan Istana Negara juga memaklumkan, Seri Paduka Baginda turut perkenan untuk mencemar duli melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) dan Hub Teknologi dan Inovasi Tochka Kipeniya.
“Selesai lawatan ke Moscow, Seri Paduka Baginda telah berkenan untuk berangkat mengadakan lawatan ke Kazan, Republik Tatarstan pada 8 Ogos 2025.
“Republik Tatarstan merupakan salah sebuah republik autonomi Persekutuan Rusia dengan majoriti penduduk beragama Islam.
“Di Kazan, Seri Paduka Baginda turut berkenan untuk menerima menghadap Tuan Yang Terutama Rustam Minnikhanov, Rais Republik Tatarstan dan berangkat mengadakan lawatan ke pusat pembuatan
dan pemasangan helikopter,” jelas kenyataan Istana Negara lagi.- 2/8/2025



