
Air Selangor disaran buat taklimat khas tarif air terkini
Kerajaan Selangor mencadangkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengadakan sesi taklimat khas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), peniaga dan pemimpin komuniti berhubung pelarasan tarif air terkini bagi meningkatkan kefahaman serta kesedaran pengguna.
EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Dato’ Ng Suee Lim berkata usaha ke arah kesedaran air secara cekap itu amat penting supaya mesej penggunaan air secara bijak dapat disampaikan lebih meluas, termasuk di sekolah serta kerjasama dengan Jabatan Penerangan.
“Sekarang ini kita masih pada peringkat cadangan tetapi saya akan minta Air Selangor supaya laksanakan sesi itu secara berkala, mungkin setahun akan ada beberapa kali untuk kepentingan dan kefahaman pada masa depan.
“Selain itu, elemen penjagaan air juga perlu dimasukkan ke dalam kempen alam sekitar kerana isu pembaziran air turut memberi kesan langsung kepada kelestarian sumber semula jadi,” katanya dipetik dari Bernama.
Suee Lim berkata penduduk Selangor perlu tahu tindakan pelarasan air itu tidak berlaku di negeri ini sahaja, malah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melaksanakan perkara sama di seluruh negara.
Semalam, Kerajaan Selangor memutuskan bahawa caj air bagi pengguna domestik yang menggunakan hingga 20 meter padu sebulan kekal pada kadar sedia ada, iaitu 65 sen bagi setiap meter padu.
Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ini bermaksud tiada peningkatan kerana kadar itu telah diselaraskan pada Februari 2024 sekali gus caj minimum RM6.50 turut kekal bagi pengguna domestik.
Beliau berkata pelarasan tarif air dibuat berdasarkan kadar caj yang ditetapkan oleh SPAN, selepas Jemaah Menteri meluluskan pelarasan tarif air baharu bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan susulan permohonan yang dikemukakan oleh negeri-negeri atas keperluan untuk mengukuhkan perkhidmatan air terawat kepada rakyat dan industri.-3/8/2025