
Kes Zara Qairina: Ini permintaan Menteri KDN
Di celah kehangatan isu kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir…Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta semua pihak diminta menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan berkaitan siasatan kes kematian pelajar itu.
Beliau buat permintaan itu ketika bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penutup i-Deen Kepulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2025, di Kajang pada Selasa.
“Bila ada insiden berlaku, maka kertas siasatan dibuka. Bila selesai, ia diserahkan kepada Peguam Negara. Kita kena hormat proses undang-undang,” katanya.
Menurut beliau, Peguam Negara akan mengembalikan kertas siasatan kepada polis sekiranya terdapat keperluan untuk penambahbaikan.
“Dalam kes seperti ini, sebarang keputusan perlu dibuat dengan teliti dan berdasarkan keyakinan penuh terhadap bukti yang dikumpulkan.
“Peguam Negara mesti betul-betul yakin sebelum membuat keputusan untuk meneruskan pendakwaan,” ujarnya.
Pada Isnin, media melaporkan bahawa Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan kertas siasatan kes kematian Zara Qairina telah diserahkan kepada AGC.
Dalam kenyataan berasingan, AGC memaklumkan pihaknya telah menerima laporan penuh siasatan awal daripada polis pada dua peringkat 3 Ogos daripada Cawangan Sabah dan 4 Ogos daripada Ibu Pejabat Putrajaya.
AGC menjelaskan, laporan tersebut sedang diteliti secara menyeluruh dari segi undang-undang dan fakta sebelum sebarang keputusan dibuat.
Allahyarham Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar pada pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital keesokannya.
Kematian tragik itu mencetuskan perhatian meluas masyarakat susulan dakwaan berlakunya buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.- 5/8/2025
Kes kematian Zara Qairina dapat perhatian Anwar
KES kematian pelajar Zara Qairina Mahathir mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menegaskan siasatan perlu dilakukan secara telus dan mendalam.
Perdana Menteri berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi memastikan siasatan dilakukan dengan segera dan menyeluruh.
“Ada kematian baru-baru ini, Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) diserang, dituduh macam-macam. Apa jadi dengan negara kita? Kematian ini bukan perkara ringan,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Penutup Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025 di Kota Kinabalu pada Ahad.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan timbalannya Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Perdana Menteri turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau tuduhan tanpa bukti, sambil menegaskan bahawa Malaysia sebuah negara berteraskan undang-undang.
“Negara ini negara hukum, bukan negara fitnah. Siapa pun yang terlibat dalam jenayah pembunuhan, tidak akan diberi perlindungan,” kata Anwar.
Zara Qairina, 13, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 4 pagi, 16 Julai.
Pelajar berkenaan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai dan kes kematian pelajar berkenaan tular serta menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat di media sosial.
Semalam, Mohd Khalid berkata kertas siasatan kes kematian Zara Qairina telah disiapkan dan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
— BERNAMA



