
Data PADU digunakan bagi penyasaran subsidi RON95
Sistem Pangkalan Data Utara (PADU) akan menjadi rujukan pelaksanaan subsidi bersasar RON95, sementara menunggu pelaksanaannya secara menyeluruh, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, data membabitkan 30.4 juta profil individu itu akan digunakan oleh Kementerian Kewangan (MOF) sebagai rujukan bagi melaksanakan pemberian subsidi bersasar.
“Berhubung pelaksanaan subsidi bersasar, data PADU yang akan digunakan oleh MOF bertujuan untuk jadi rujukan kepada penerima subsidi RON95.
“Dengan ini saya rasa penggunaan pertama yang betul-betul terperinci akan digunakan. Jadi kita tunggu bila RON95 diteruskan,” katanya hari ini.

Beliau yang juga memangku jawatan Menteri Ekonomi berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (Pakatan Harapan -Sri Gading) yang mahu Kementerian Ekonomi menyatakan perancangan terhadap PADU yang dibangunkan dan berapa jumlah data dikumpul sehingga Jun lalu.
Sementara itu Amir Hamzah turut memaklumkan pembangunan dan pelaksanaan sistem itu telah disusun dengan mematuhi segala peraturan yang termaktub dalam akta, arahan dan pekeliling yang berkuat kuasa.
“Ini bagi memastikan prosesnya berjalan dengan telus dan sah di sisi undang-undang serta sistem PADU ini juga telah melalui proses penilaian ketat oleh pasukan luar untuk memastikan integriti dan keberkesanannya.
“Langkah ini membuktikan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kecekapan dalam penyampaian subsidi kepada rakyat, khususnya dalam menangani isu-isu berkaitan harga bahan bakar yang memberi impak langsung kepada ekonomi rakyat,” katanya.-5/8/2025