FOKUS

KEMASKINI: MCMC sita telefon dan sim kad pempengaruh beri sisa makanan pada gelandangan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan tiga individu dipercayai pempengaruh berhubung penyebaran video yang memaparkan mereka memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.

Dalam kenyataannya, MCMC berkata, sesi rakaman keterangan serta siasatan lanjut telah dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor, hari ini.

“Sebanyak tiga unit telefon bimbit dan tiga keping kad SIM telah disita bagi membantu siasatan,’’ katanya.

Terdahulu tular klip video yang memaparkan tiga lelaki meletakkan tulang ayam yang dimakan ke dalam sebungkus nasi dan kemudian memberikan sisa tulang dan nasi kepada seorang gelandangan yang terbaring di sebuah lorong.

Pempengaruh tersebut kemudiannya memberikan kepingan ayam kepada seekor anjing.

Video berkenaan telah mencetuskan kemarahan ramai, dengan pelbagai pihak mahu tindakan tegas diambil ke atas pempengaruh terbabit. Ini kerana kandungan video terbabit bukan hanya tidak berperi kemanusiaan malah merendahkan martabat manusia.

Dalam pada itu, MCMC berkata, kandungan tersebut dipercayai bersifat jelik melampau dan telah mencetuskan kemarahan serta kecaman meluas dalam kalangan warganet, selain menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,’’ katanya.

Suruhanjaya berkenaan berkata, ia akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif literasi digital melalui Kempen Internet Selamat (KIS), bagi membentuk masyarakat yang celik digital, beretika dan bertanggungjawab.

“Inisiatif ini turut menyemai budaya penciptaan kandungan yang berhemah, beretika dan beradab, selain meningkatkan kesedaran terhadap nilai-nilai murni dalam ekosistem digital negara,’’ katanya.-6/8/2025

BERITA SEBELUM INI

MCMC siasat video eksploitasi gelandangan, janji tindakan tegas

Tiga remaja yang sebelum ini tular menerusi sebuah rakaman video kerana didakwa memberi makanan yang mengandungi nasi bersama sisa tulang ayam kepada seorang gelandangan untuk ‘konten’ kini berdepan siasatan pihak berkuasa.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap mereka selepas video tersebut dikecam netizen kerana dianggap tidak sensitif dan menghina golongan kurang bernasib baik.

Menurut MCMC, pihaknya memandang serius tindakan menghasilkan dan menyebarkan kandungan yang mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk meraih tontonan dan mencetuskan kontroversi.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak beretika, malah merendahkan maruah individu dan berpotensi menormalisasikan budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat,” menurut MCMC dalam satu kenyataan hari ini.

MCMC turut mengesahkan siasatan terhadap kandungan video terbabit sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Sekiranya didapati bersalah, individu terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Sabitan kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” kata MCMC.

Suruhanjaya itu turut mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan yang berunsur provokasi, jelik, palsu atau mengancam ketenteraman awam.

Menerusi video yang tular di media sosial, kelihatan tiga pemuda terbabit berkunjung ke restoran makanan segera dan mereka membeli ayam serta makan di situ.

Kemudian, mereka menyatakan mahu membuat kerja kebajikan dan seorang daripada pemuda itu memberitahu, tulang ayam berkenaan tidak boleh dibuang.

Mereka mengumpulkan tulang ayam itu dan meletakkannya di dalam nasi kononnya bagi mengelakkan pembaziran.

Pemuda itu memberitahu, tulang berkenaan boleh diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Selepas keluar dari restoran makanan segera, mereka dilihat memberikan nasi yang dibungkus bersama tulang ayam kepada gelandangan selain anjing jalanan.-5/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button