
Kenyataan MCMC mengenai siasatan kes dakwaan Anwar terhadap Muhyiddin
Ketika ramai tertanya pasal perkembangan kes bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa mempertahankan hak warga asing dalam penyasaran subsidi RON95… Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Khamis keluarkan satu kenyataan.
Siasatan ini dikendalikan oleh MCMC atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah Muhyiddin menafikan beliau pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seumpama itu.
MCMC dalam kenyataan itu memberitahu ia telah menghubungi Muhyiddin selaku Ahli Parlimen Pagoh untuk memberi keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Siasatan tersebut melibatkan kandungan sebuah akaun TikTok yang mengaitkan beliau dengan satu dakwaan berhubung subsidi bersasar RON95.
“Fokus siasatan adalah bagi mengesahkan konteks kandungan yang disiarkan, dan tidak melibatkan sebarang dakwaan atau pertuduhan terhadap beliau,” katanya.
Bagi melengkapkan siasatan, MCMC akan memanggil mana-mana individu yang berkaitan sekiranya perlu.
MCMC menggesa semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi, serta memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang dijalankan secara bebas, berhemah dan profesional.
Sementara itu Anwar tidak buat sebarang kenyataan mengenai isu berkenaan pada Khamis.
Namun Muhyiddin telah sentuh mengenainya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Sambil menafikan lagi ada buat kenyataan mempertahankan hak warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95 beliau meminta Anwar menarik balik kenyataan serta memohon maaf secara terbuka di Parlimen.
Muhyiddin menyatakan kesediaan menerima permohonan maaf tetapi akan membawa isu itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan jika tiada tindakan diambil.
Beliau juga mempersoalkan arahan siasatan oleh MCMC yang disifatkan tidak masuk akal.- 7/8/2025
PM arah MCMC siasat cari kebenaran isu subsidi bahan api untuk warga asing ekoran penafian Muhyiddin…
Panas memang panas…apa lagi isu ini melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tidak lama lagi pasti akan diketahui kedudukan sebenar hal ini.
Anwar,Ahli Parlimen Tambun dakwa Muhyiddin selaku Ahli Parlimen Pagoh ada buat kenyataan di Dewan Rakyat mempertahankan hak warga asing untuk mendapat bahan api bersubsidi.
Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden Bersatu itu menafikan dakwaan itu dan cabar Perdana Menteri buktikan beliau membela warga asing mengenai isu itu.
Hari ini,Rabu satu kenyataan dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberitahu Anwar mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyiasat sama ada Muhyiddin telah membuat kenyataan berkenaan.
“Pejabat Perdana Menteri mengambil maklum kenyataan penafian oleh Ahli Parlimen Pagoh terkait dakwaan mempertahankan hak warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
“Sebagai kerajaan yang menjunjung ketelusan dan bertanggungjawab, Perdana Menteri telah mengarahkan MCMC untuk menyiasat perkara ini serta mengambil tindakan sewajarnya,” kata kenyataan PMO itu.
Pertikaman lidah mengenai isu ini berbangkit pada sidang Dewan Rakyat Selasa semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.
Anwar mendakwa Muhyiddin mempersoalkan keputusan kerajaan untuk tidak memberikan subsidi petrol kepada warga asing.
Ini mendorong ahli parlimen PN kawasan Hulu Terengganu Rosol Wahid meminta Perdana Menteri menamakan pemimpin pembangkang yang menyokong membenarkan warga asing menikmati subsidi petrol.
“Itu kenyataan pemimpin kamu sendiri – Pagoh (Ahli Parlimen Muhyiddin). Lain kali baca betul-betul. Suruh dia datang ke Parlimen, jangan tembak membuta tuli.
“Saya sudah jawab ini. Baca kenyataan Pagoh mengapa kita membebankan warga asing, kerana warga asing juga menyumbang kepada negara,” kata Anwar.
Muhyiddin yang tidak ada dalam sidang dewan semalam telah membuat penafian menerusi laman media sosial beliau.
“Saya sebenarnya tak pernah cakap begitu, saya mempertikaikan dengan sekeras-kerasnya. Kenyataan itu adalah kenyataan yang berfitnah atau pembohongan.”
Bekas Perdana Menteri itu dakwa Anwar gagal menyemak dakwaan itu dengan betul.- 6/8/2025



