
Presiden Trump buka cerita pasal tarif semikonduktor pula…Malaysia mohon penjelasan
Nampak macam ada yang belum beres dalam isu tarif dagangan Amerika ekoran Presiden Donald Trump pada pagi Khamis dilaporkan kata kadar tarif baru 100 peratus akan dikenakan kepada “semua cip dan semikonduktor yang masuk ke negara itu.
Namun katanya peraturan itu tidak akan digunakan untuk syarikat yang telah membuat komitmen untuk membuat kilang atau kemudahan di Amerika.
Gara gara itu elok juga kita dengar serba sedikit penjelasan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Tengku Zafrul Abdul Aziz tentang ‘implikasi besar’ kenyataan berkenaan terutama bagi negara pengeksport utama berangan berkenaan seperti Malaysia.
Beliau memberitahu di Dewan Rakyat sehingga 2024, jumlah eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia ke Amerika mencecah RM119 bilion, kira-kira 20 peratus daripada jumlah eksport E&E negara.
Eksport semikonduktor sahaja, katanya, menyumbang kira-kira RM60.6 bilion, atau sekitar 20 peratus, daripada jumlah eksport semikonduktor Malaysia.
Menurutnya industri itu melibatkan kira-kira 72,000 pekerja mahir dan disokong oleh 7,200 pembekal tempatan, kebanyakannya adalah PKS.
Menteri itu kata manfaat daripada industri E&E dan semikonduktor melimpah ke sektor lain seperti automotif, peranti perubatan, tenaga boleh diperbaharui, digital dan aeroangkasa.
Katanya walaupun eksport semikonduktor Malaysia ke AS kekal dikecualikan daripada tarif timbal balik buat masa ini, pengecualian itu “tertakluk kepada semakan dan boleh berubah pada bila-bila masa, bergantung kepada keputusan pihak berkuasa (Amerika).
“Kami akan memperjuangkan kepentingan pengeksport Malaysia supaya sebarang perubahan dasar atau kriteria pengecualian boleh dimaklumkan dan dirundingkan lebih awal, dan untuk memastikan kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang strategik terus dilindungi,” tegas Zafrul.
Tengku Zafrul menegaskan bahawa Trump memberi gambaran tarif itu akan dikenakan ke atas syarikat yang tidak membina kemudahan di Amerika atau dalam proses berbuat demikian.
“(Bagaimanapun), kerana banyak syarikat yang barpangkalan di negara kita yang eksport ke Amerika ada juga kilang di Amerika, kita ingin dapatkan pencerahan daripada pihak pentadbiran Amerika apakah yang dimaksudkan dengan ‘syarikat yang perlu melabur semula atau melabur lebih dalam dalam negara Amerika’,” katanya.
“Contohnya Intel atau Texas Instruments, mereka mempunyai banyak pembekal daripada syarikat PKS (perniagaan kecil dan sederhana) tempatan, sektor semikonduktor pembekal tempatan lebih kurang 7,000, pekerja lebih kurang 70,000.
“Impaknya kepada rangkaian bekalan sektor semikonduktor di Malaysia sangat ketara, perlu lebih pencerahan dari pihak pentadbiran Amerika.
“Kita sudah menghubungi pagi ini untuk mendapatkan penjelasan rasmi, walaupun sudah tentu ada perbezaan masa,” katanya.- 7/8/2025