
Proses damai krisis Thailand – Kemboja yang diterajui Malaysia jalan terus…
Suasana ceria terpancar di pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra,Putrajaya pagi Khamis semasa beliau menerima kunjungan hormat delegasi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit.
Kedua delegasi berada di sini dalam rangka rundingan damai yang dipelopori Malaysia terhadap krisis di sempadan kedua negara anggota ASEAN itu.
Malaysia kini adalah Pengerusi ASEAN.
Dalam hantaran di facebooknya mengenai kunjungan berkenaan ,Perdana Menteri kata ,”Pagi ini saya menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit bersama delegasi masing-masing di Perdana Putra.

Pertemuan ini amat bermakna kerana kami mencapai kesepakatan penting untuk meneruskan dialog dan mengekalkan gencatan senjata di sempadan Thailand–Kemboja yang bermula sejak 28 Julai lalu.
Ia mencerminkan iltizam bersama untuk menjunjung keamanan dan kestabilan serantau yang amat mustahak dalam landskap geopolitik hari ini.
Saya menghargai keyakinan yang diberikan oleh Thailand dan Kemboja kepada Malaysia untuk terus menerajui rundingan damai dan memantau situasi di sempadan, khususnya melalui peranan penting Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Alhamdulillah, kedua-dua negara turut mencapai beberapa persetujuan penting, termasuk komitmen untuk mematuhi sepenuhnya gencatan senjata tanpa sebarang bentuk serangan, tidak menambah kekuatan atau mengubah penempatan tentera, mengelak tindakan provokatif, serta menjamin perlindungan terhadap orang awam dan infrastruktur awam.
Bicara kami selama lebih 30 minit turut menyentuh cadangan penempatan pasukan ASEAN Observer Team (AOT) bagi membantu usaha pemantauan, bantuan kemanusiaan serta pengurusan perubatan di kawasan sempadan.
Insya-Allah, saya dan seluruh pasukan Malaysia akan terus berusaha menyokong proses damai ini atas kepercayaan dan keyakinan bahawa keamanan yang berkekalan hanya boleh dicapai melalui dialog, persahabatan dan keikhlasan.- 7/8/2025