
Jabatan Peguam Negara arah gali semula jenazah Zara Qairina…
Tiga minggu selepas pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir dikebumikan ekoran ‘terjatuh’ dari bangunan asrama di Papar,Sabah… Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak berkuasa menggali semula jenazahnya.
Jenazah itu dikebumikan di Kampung Kalamauh Mesapol, Sipitang yakni kampong asal Zara pada 17 Julai sehari selepas kejadian tragis yang menimpa Allahyarham.
Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar dipercayai ‘terjatuh’ dari tingkat tiga bangunan asrama itu.
Dia ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Polimek timbul tentang kematian kerana ada dakwaan ia berpunca dari kejadian buli.
Malah kejadian mendapat perhatian banyak pihak termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi satu kenyataan AGC kata keperluan untuk menggali semula jenazah Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah itu.
Menurutnya terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
“Ia setelah AGC meneliti laporan penuh siasatan awal yang telah dikemukakan oleh PDRM berhubung kes kematian Zara Qairina,” katanya.
Isnin lalu, AGC memaklumkan menerima laporan penuh siasatan awal berhubung kes itu pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat AGC di Putrajaya.
Bagaimanapun, AGC menyerahkan semula laporan penuh siasatan awal kepada polis berhubung kematian pelajar sekolah agama yang meninggal dunia pada 16 Julai lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata laporan siasatan itu diserahkan pihaknya kepada polis semalam untuk pihak berkuasa itu melengkapkan siasatan.
Dalam pada itu ibu kepada Zara, Noraidah Lamat, 45, baru baru ini dilaporkan telah memohon kubur anaknya itu digali semula demi mendapat jawapan dan keadilan.- 8/8/2025