
MCMC makin ligat lindungi pengguna
Dewan Rakyat telah diberitahu sejak 1 Januari 2024 sehingga 1 Ogos lalu sebanyak 112,734 kandungan dan tujuh laman sesawang berunsur penipuan telah diturunkan penyedia perkhidmatan media sosial atas permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
Hal ini diberitahu Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam jawapan bertulis menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) yang bertanyakan usaha Kementerian Komunikasi dalam mengatasi masalah penipuan siber di Malaysia.
Fahmi kata tindakan itu dibuat berdasarkan aduan diterima serta garis panduan komuniti yang telah ditetapkan oleh setiap platform selaras dengan undang-undang tempatan.
Selain itu, kata beliau, MCMC dengan kerjasama pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi pula telah menyekat 2.1 bilion panggilan yang meragukan dan berunsur penipuan.
Pada masa sama, Fahmi berkata, 2.1 bilion perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) yang tidak diminta juga disekat manakala 184,289 talian termasuk talian mudah alih dan tetap yang menghantar SMS meragukan telah ditamatkan perkhidmatan bagi tempoh 2022 hingga 1 Ogos 2025.
Beliau menjelaskan, arahan larangan terhadap kandungan terlarang di dalam SMS yang meliputi kandungan pautan permohonan maklumat peribadi dan nombor telefon untuk dihubungi telah dikuatkuasakan sejak 1 September 2024.
“Langkah ini bertujuan melindungi pengguna dan seterusnya membendung jenayah penipuan di mana perkhidmatan SMS boleh dieksploitasi oleh penjenayah dengan menyamar sebagai pelbagai pihak termasuk entiti awam dan swasta untuk memperdayakan orang ramai.
“Selaras dengan pindaan kepada Seksyen 233(1) Akta 588, kandungan palsu yang disebarkan dengan niat untuk melakukan fraud atau kecurangan kepada mana-mana orang merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali dan denda selanjutnya RM5,000 setiap hari kesalahan diteruskan, jika disabitkan kesalahan.
“Kementerian Komunikasi melalui MCMC bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari segi bantuan teknikal termasuk permohonan penurunan kandungan media sosial, sekatan laman sesawang, pembekalan maklumat profiling dan analisis forensik digital bagi mempercepatkan proses siasatan yang berkaitan dengan kesalahan penipuan dalam talian,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, MCMC juga telah melancarkan Kempen Internet Selamat (KIS) pada 21 Januari lalu yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan dalam talian bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah dalam talian seterusnya mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.
Menurut Fahmi, kempen tersebut akan dilaksanakan di 10,000 sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) serta institut pendidikan guru melalui beberapa inisiatif libat urus dan kerjasama dengan majlis perwakilan pelajar di universiti awam seluruh negara.
Di samping itu, beliau berkata, MCMC juga telah melaksanakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan, untuk memohon serta mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta 588 mulai 1 Januari lalu.
Jelasnya, ia bagi mewujudkan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna terutama kepada kanak-kanak dan keluarga.
“Bagi memperkukuhkan sistem dan proses penyedia perkhidmatan untuk mengurangkan kemudaratan dalam talian pada platform mereka, penyedia perkhidmatan disarankan untuk mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang telah diterbitkan oleh MCMC pada 20 Disember 2024,” katanya.- 8/8/2025