KEMBARA

Perang… bagaimana AI ubah cuti ke Pakistan kepada petualangan di Yunnan

Tinggal sebulan lebih sahaja sebelum Rumaizah Abdul Raof, 29 tahun, dan suaminya, Mohd Aashiq Anshad, 30 tahun, dijadual berangkat ke Pakistan untuk percutian pertengahan tahun mereka pada Jun 2025.

Sayangnya, percutian yang sudah dirancang enam bulan lebih awal itu terpaksa dibatalkan apabila perang akibat konflik sempadan dan penutupan ruang udara melanda negara tersebut.

Buntu Rumaizah dibuatnya.

Akhirnya, beliau merujuk kepada media sosial untuk menentukan destinasi alternatif iaitu Yunnan, China, sebelum menggunakan wadah kecerdasan buatan (AI) Deepseek dan ChatGPT untuk memperincikan jadual perjalanan mereka selama 10 hari.

“AI benar-benar membantu kami untuk ada keyakinan menempah kesemuanya dalam tempoh tiga hari daripada waktu di mana kami perlu ubah rancangan asal kami,” ujarnya.

Pelancong seperti Rumaizah mencerminkan landskap pelancongan lebih luas yang kian berubah, dengan teknologi maju AI semakin menjadi sebahagian besar pengalaman merancang perjalanan.

Booking.com baru-baru ini, seramai tiga dalam empat responden telah menggunakan AI dalam perjalanan mereka.

Tinjauan tersebut dijalankan ke atas lebih 37,000 pengguna merentasi 33 pasaran sejagat antara April dengan Mei 2025.

Sebelum perjalanan, pengunjung menggunakan AI untuk mencari destinasi dan menentukan waktu terbaik untuk ke sana, selain saranan makanan serta kegiatan kebudayaan, pengalaman tempatan ataupun mencari ‘mutiara’ tersembunyi.

Sewaktu perjalanan pula, ia digunakan terutama untuk penterjemahan bahasa, usulan tempatan, bantuan mengemudi laluan dan mencari jalan selain menerima kemas kini seperti cuaca buruk.

Menurut laporan itu lagi, AI semakin dilihat sebagai sumber nasihat yang boleh dipercayai, dengan 30 peratus pengguna berkata mereka menghargai saranan AI lebih daripada ejen perjalanan, buku panduan atau majalah perjalanan, mahupun pempengaruh media sosial.

Walaupun penggunaan AI berleluasa, ia masih dilihat sebagai alat tambahan yang menyokong perjalanan.

Hanya 8 peratus mempercayai AI sepenuhnya dan 16 peratus selesa jika AI membuat keputusan sendiri.

Serupa dapatan itu, Heeqmah Wahianuar, 33 tahun, yang ke Jepun pada akhir Jun 2025 bersama rakannya dan telah memanfaatkan alat AI seperti ChatGPT dan Gemini, mengaku beliau tidak menerima saranan AI bulat-bulat.

Meskipun akur alat AI menjimatkan masa perancangan bagi individu yang sibuk, peguam tersebut tetap berusaha dengan menyemak semula maklumat yang diberi bagi memastikan ia sahih dan boleh dipercayai.

Beliau menambah bahawa kata kunci yang ditaip ke dalam enjin carian turut memainkan peranan dan perlu bersifat khusus.

Contohnya, apabila ingin berkunjung ke muzium, beliau menggunakan kekata ‘muzium peperangan’ dan ‘pencinta sejarah’, supaya diberikan saranan sesuai mengikut cita rasanya.

Menggambarkan kekagumannya dengan teknologi canggih kini, beliau berkata:

“Ibu saya sangat risau tentang gempa bumi di Jepun dan terdapat khabar angin bahawa gempa bumi teruk akan melanda pada masa yang sama saya berada di sana.

“Namun AI memberitahu bahawa diramalkan bahawa gempa bumi akan menggegarkan salah satu bandar yang kami ingin kunjung. Jadi kami elaknya, dan gempa bumi benar-benar berlaku sewaktu saya di sana.”

Rumaizah menambah bahawa AI berguna jika perancangan yang dibuat adalah bagi bandar yang terhubung dengan baik dan tempat yang sudah popular atau telah banyak dirakam.

“Sekali-sekala, kami suka mengikuti laluan yang jarang diterokai, jadi kami akan selalu dapatkan khidmat jurupandu lawatan tempatan untuk perjalanan seperti itu berbanding dengan mempercayai saranan AI,” katanya.

Mengulas tentang dapatan Booking.com, ahli strategi dan penulis AI, Graham Lovelace, berkata:

“Keputusan tinjauan besar ini mengesahkan paradoks AI: Walaupun ia digunakan secara berleluasa pengguna juga berhati-hati tentang hasilnya.

“Mereka benar jika ingin bersikap hati-hati: Model AI direka untuk menjana kandungan yang berkemungkinan besar betul berbanding tepat 100 peratus.

“Lantas ia menggembirakan bahawa walaupun terdapat banyak dakwaan yang AI sudah capai atau menghampiri tahap kecerdasan manusia, pengguna sedang mendekatinya dengan sikap hati-hati dan keraguan yang sihat.”-11/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button