TAHUKAH ANDA

Al Jazeera Gaza ‘dihilangkan’, semua kakitangan terbunuh dalam serangan Israel sasar khemah media

Semua pasukan petugas Al Jazeera di Gaza dibunuh rejim Israel dalam satu serangan udara yang menyasarkan khemah media berhampiran Hospital al-Shifa di Bandaraya Gaza.

Serangan itu berlaku pada Ahad malam membunuh semua kakitangan Al Jazeera di Gaza mencetuskan kecaman meluas terhadap tindakan Israel yang didakwa menyasarkan wartawan secara langsung.

Menurut laporan Al Jazeera, serangan tersebut mengenai khemah yang digunakan oleh wartawan untuk melaporkan perkembangan konflik dari zon perang.

Mereka yang terbunuh ialah wartawan Anas al-Sharif dan Mohammed Qreiqeh, jurukamera Ibrahim Zaher dan Mohammed Noufal, serta pembantu produksi Moamen Aliwa.

Anas al-Sharif, 28, dikenali sebagai suara lantang dari Gaza dan sering melaporkan secara langsung dari kawasan paling berisiko.

Beberapa minit sebelum terbunuh, beliau memuat naik video serangan udara ke platform media sosial X.

“Pengeboman tanpa henti… sejak dua jam, serangan Israel semakin intensif di Bandaraya Gaza,” catatnya.

Tentera Israel dalam kenyataan rasmi mendakwa bahawa Anas merupakan ketua sel Hamas yang menyamar sebagai wartawan, dan kononnya terlibat dalam perancangan serangan roket terhadap orang awam Israel.

Al Jazeera menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada kempen hasutan terhadap wartawan mereka.

Pengarah Hospital al-Shifa, Dr Muhammad Abu Salmiya, mengesahkan bahawa serangan itu turut merosakkan sebahagian daripada jabatan kecemasan hospital dan menyebabkan kecederaan kepada beberapa kakitangan perubatan.

“Khemah media itu dibom secara langsung. Mereka tiba di jabatan kecemasan dengan kecederaan parah, namun tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Komiti Melindungi Wartawan (CPJ) sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan Anas al-Sharif dan menuduh Israel menjalankan kempen fitnah terhadap beliau.

Sejak Oktober 2023, lebih 200 wartawan dan pekerja media telah terbunuh di Gaza, menjadikan konflik ini antara yang paling berbahaya bagi pengamal media.

Al Jazeera mengecam tindakan Israel sebagai cubaan sistematik untuk menutup laporan kritikal dari Gaza.

“Kami tidak akan berdiam diri. Serangan terhadap wartawan adalah serangan terhadap kebenaran,” kata rangkaian media itu dalam kenyataan rasmi.-11/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button