SUARA PEMBACA

Jangan ganggu sekolah!… KPM rayu hentikan perhimpunan di SMKA Tun Datu Mustapha

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merayu orang ramai supaya tidak mengadakan perhimpunan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan di Kinarut, atau memboikot sekolah tersebut.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, semua pihak mahukan keadilan untuk Zara Qairina Mahathir, namun beliau merayu agar keadilan turut diberikan kepada pelajar dan guru di sekolah itu, selain menjaga emosi serta psikologi mereka.

Beliau yakin pihak berkuasa akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin, dengan KPM memberi sokongan penuh.

Menurutnya, KPM menambah baik aspek keselamatan termasuk menambah bilangan warden, meningkatkan keupayaan kamera litar tertutup (CCTV) serta mengarahkan semua pengetua dan guru besar melaporkan segera setiap insiden.

“Sejak dahulu kita tidak benarkan perkara negatif disimpan. Arahan jelas sudah diberikan supaya aduan dibuat segera, termasuk kes buli dan gangguan seksual. Jika tidak, tindakan tatatertib akan diambil,” tegasnya.

Beliau memaklumkan, Jemaah Nazir telah diarahkan membuat audit keselamatan sekolah dan asrama setiap hari, selain pemeriksaan mengejut.

“Saya sendiri akan turun ke sekolah tanpa makluman awal, termasuk pada waktu malam di asrama, untuk melihat keadaan sebenar,” ujarnya.

Dr. Mohd Azam berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi Guru Madani dan Penyerahan Bantuan Persekolahan Tingkatan 6 di sini, yang disempurnakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.-11/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button