
Selepas teguran PM, pemaju bakal bina sekolah menegak di Residensi Aman MADANI
Lima hari selepas ditegur Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bakal pemilik Residensi Aman MADANI boleh menarik nafas lega kerana masalah persekolahan anak-anak mereka bakal selesai.
Anwar dalam hantaran di facebooknya hari ini berkata beliau mencadangkan pembinaan sekolah menegak di perumahan Residensi Aman MADANI yang dilancarkan baru-baru ini, bagi menampung keperluan pendidikan pelajar setempat.
Menurutnya, cadangan itu dibangkitkan ketika mempengerusikan perbincangan bersama pemaju, kementerian dan agensi berkaitan susulan perasmian projek berkenaan.
Menurut Perdana Menteri, walaupun terdapat sekolah rendah berdekatan, kapasiti yang terhad menuntut pembangunan sekolah baharu selari dengan pertambahan penduduk.
“Justeru saya telah mencadangkan agar wujudnya sekolah menegak dalam kawasan pembangunan atau pembinaan sekolah berhadapan residensi yang disambung jejantas, ” katanya.

Sekolah berkenaan terbuka kepada semua penduduk setempat selain kemudahan mengikut kerangka MADANI termasuk tadika, surau, klinik, dan pusat keselamatan yang akan dibina kelak.
“Pastinya semua prasarana lengkap ini diwujudkan demi keselesaan rakyat,” menurut beliau lagi.
Sebelum ini, pada 6 Ogos lalu, ketika merasmikan majlis pecah tanah projek di Bandar Sri Permaisuri itu, Anwar mengarahkan pemaju hartanah menyediakan semula kertas kerja perancangan pembangunan dan memastikan semua keperluan asas dipenuhi sebelum projek diteruskan sepenuhnya.
“Satu blok boleh diteruskan, satu lagi saya arah tangguh sehingga syarat-syarat ini dipenuhi. Saya tidak kisah jika ada yang tidak senang dengan teguran saya.
“Negara ini hanya boleh berubah jika kita semua ubah sikap dan melaksanakan tanggungjawab. Ini projek besar dan pemaju perlu memberikan kerjasama,” tegasnya.
Beliau membuat teguran itu susulan aduan dan pemerhatian berhubung kesukaran rakyat berpendapatan sederhana termasuk mereka yang bergaji RM3,000 ke bawah untuk mendapatkan akses kepada kemudahan asas terutama pendidikan.
“Arahan saya jelas, projek perumahan bertingkat di bandar mesti ada sekolah vertikal termasuk kemudahan pra sekolah. Saya kurang puas hati mengenai aspek pendidikan dalam projek-projek baharu. Projek berskala besar harus memenuhi konsep pembangunan MADANI.
“Kalau sekolah jauh, tadika tidak ada, bagaimana ibu bapa hendak urus anak-anak? Ini bukan soal kecil. Semua ini mesti diberikan perhatian serius,” katanya lagi..-11/8/2025