
Polis Bukit Aman ambilalih siasatan kes Zara Qairina…
Siasatan kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir yang mencuri perhatian ramai telah masuk ke episod baru.
Ini bila mana ibupejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman telah ambilalih siasatan kes pelajar tingkatan satu yang punca kematianya jadi polimek dan diselubungi pelbagai spekulasi.
Satu kenyataan Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) petang Isnin beritahu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menghantar satu pasukan siasatan khas ke Kontinjen Sabah, bagi mengambil alih siasatan.
Katanya sembilan pegawai dan anggota JSJ sudah dihantar ke Sabah.

“Penghantaran pasukan petugas khas ini adalah sebahagian daripada komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
“PDRM memandang serius setiap kes yang membabitkan kehilangan nyawa.
“Sehubungan itu, PDRM menyeru agar semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional, serta mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.
Allahyarham Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar di Papar pada 4 pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital keesokannya.
Pelajar itu berasal dari Sipitang.
Semalam bedah siasat semula keatas jenazahnya dikendalikan di Hospital Queen Elizabeth 1 di Kota Kinabalu.
Ini selepas kuburnya di Sipitang digali semula.
Langkah ini dilaksana atas arahan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan terhadap kes Zara Qairina akan dijalankan secara telus tanpa ada tolak ansur dan mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar memantau sendiri kes berkenaan.- 11/8/2025