
Johor negeri pertama guna air kumbahan terawat untuk pusat data
Kekerapan gangguan air di Johor memang meruncing bukan sahaja orang ramai tetapi juga pelabur dan pihak industri.
Kewujudan banyak pusat data yang baharu dibina di negeri itu menambah parahnya lagi situasi, tapi ada jalan lain menganti sumber air bersih untuk pihak industri terutamanya pusat data yang menggunakan banyak air untuk menyejukkan komponen-komponen mereka.
Johor kini muncul sebagai negeri pertama di Malaysia yang menggunakan air kumbahan terawat sebagai sumber air alternatif bagi industri pusat data, langkah yang dijangka menjadi penanda aras baru dalam pengurusan sumber air negara.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata inisiatif itu membolehkan efluen terawat digunakan semula, sekali gus mengurangkan pembaziran dan tekanan terhadap bekalan air minuman terawat.
“Kerjasama ini dijayakan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) bersama Johor Special Water (JSW), anak syarikat Permodalan Darul Ta’zim Sdn Bhd (PDT).
“Melalui kerjasama itu, efluen terawat dari loji rawatan kumbahan akan diproses di Loji Air Pulih Guna sebelum disalurkan kepada pusat data,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengiktirafan Penggunaan Air Alternatif bagi Pusat Data di Johor di Johor Bahru pada 11 Ogos.
Menurut Fadillah, IWK mengeluarkan 7,371 juta liter sehari efluen terawat di seluruh negara, termasuk 1,067 juta liter di Johor. Daripada jumlah itu, IWK mampu membekalkan 12 juta liter sehari untuk dua pusat data – Bridge Data Centres (BDC) dan Computility Technology Malaysia.
Saluran paip bawah tanah sepanjang 6.5 kilometer telah siap dibina daripada Loji Rawatan Kumbahan IWK di Taman Pelangi Indah ke BDC di Ulu Tiram, menjadikan syarikat itu pelabur pertama yang terus memanfaatkan teknologi itu.
Projek Computility di Setia Eco Garden, Iskandar Puteri, pula dijangka beroperasi sepenuhnya Disember 2025.
“Langkah ini penting bagi memastikan penggunaan air yang mampan dalam industri pusat data yang memerlukan jumlah besar air untuk penyejukan. Ia juga seiring komitmen negara terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” kata beliau.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata negeri itu telah meluluskan 42 projek pusat data setakat suku kedua 2025 daripada lebih 50 permohonan yang diterima, dengan nilai pelaburan berjumlah RM164.45 bilion dan potensi mewujudkan lebih 6,000 pekerjaan.
Menurutnya, tujuh permohonan baru melibatkan kapasiti air sehingga 76 juta liter sehari sedang dipertimbangkan JSW dengan kerjasama pemaju pusat data, penyedia utiliti dan kerajaan negeri.
Tambahnya, pembangunan pesat itu menjadi pemacu utama kepada pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Pelan Digital Johor dan agenda transformasi ekonomi negeri.
“Bagi memastikan pertumbuhan tersebut bersifat mampan, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Pusat Data Johor untuk menilai setiap projek secara teliti dan telus dengan penekanan kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan pengoptimuman sumber air,” katanya.
Selain BDC dan Computility, DayOne Data Centres Sdn Bhd turut menandatangani perjanjian dengan JSW untuk mendapatkan bekalan air mentah daripada Sungai Tebrau yang akan dirawat bagi sistem penyejukan pusat datanya di Kempas Tech Park. Projek itu dijangka siap November 2025.
Onn Hafiz berkata usaha ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada sumber air minuman, malah membuka peluang pertumbuhan industri hijau yang berdaya saing, selaras dengan Agenda Maju Johor.-12/8/2025