TAHUKAH ANDA

Diplomasi budaya Malaysia-India… PM saksikan filem epik Taj Mahal

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni sahabat lamanya, pengarah dan penerbit filem tersohor India, Akbar Khan dengan meluangkan masa bersama menonton filem Bollywood Taj Mahal: An Eternal Love Story.

Datuk Seri Anwar berada di lokasi selama kira-kira 30 minit bagi menyaksikan sebahagian babak filem epik itu yang memaparkan kisah percintaan agung Maharaja Mughal, Shah Jahan dan isterinya, Mumtaz Mahal, sehingga terbinanya monumen ikonik Taj Mahal di Agra, India.

Filem berskala besar arahan Akbar Khan menampilkan lokasi penggambaran asli di India serta sinematografi yang menyerlahkan keindahan seni bina Mughal.

Filem berkenaan dibintangi pelakon ternama Bollywood seperti Kabir Bedi, Zulfikar Sayed, Manisha Koirala, Arbaaz Khan dan Sonya Jehan.

Karya tersebut turut mengangkat tema pengorbanan, cinta sejati dan warisan budaya, menjadikannya sebuah penghormatan kepada salah satu keajaiban dunia yang diiktiraf UNESCO.

Taj Mahal: An Eternal Love Story pernah dianggap antara produksi Bollywood paling mahal pada zamannya dan dipasarkan sebagai projek yang mempamerkan kekayaan sejarah serta seni bina India kepada dunia.

Tayangan filem itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N. Reddy, Duta Poland ke Malaysia, Krzysztof Dobrowolski,serta Timbalan Ketua Perwakilan Mesir, Fatma AlZahraa Hassan Abdelkawy.

Sesi berkenaan menjadi medan pertemuan semula antara Anwar dan Akbar yang pernah berinteraksi dalam pelbagai acara budaya sebelum ini, sekali gus mengeratkan hubungan persahabatan dan diplomasi budaya antara Malaysia dan India.-12/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button