FOKUS

Ingatan KSU kepada semua penjawat awam… Jangan jadi penyebar fitnah

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, hari ini mengeluarkan amaran tegas kepada semua penjawat awam supaya tidak menyalahgunakan media sosial dengan memuat naik kandungan yang mengandungi fitnah, maklumat palsu atau kenyataan yang dikuasai emosi.

Beliau menekankan, penyebaran maklumat tidak benar melalui platform digital bukan sahaja menjejaskan reputasi individu dan keluarga, malah boleh mencalar imej perkhidmatan awam dan memburukkan persepsi rakyat terhadap kerajaan.

“Janganlah kita memuat naik kenyataan yang berunsur fitnah, tidak benar atau dikuasai emosi. Gunakan media sosial untuk berkongsi perkara yang baik dan membina,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Reformasi Satu Kemestian Bersama Ketua Setiausaha Negara bersempena setahun pelaksanaan Reformasi Perkhidmatan Awam di Putrajaya pada Selasa.

Sementara itu, dalam majlis yang sama beliau mengingatkan semua penjawat awam agar mengamalkan komunikasi yang jelas, mudah difahami dan mengelakkan penggunaan “bahasa Putrajaya” yang terlalu teknikal atau berbelit sehingga menyukarkan masyarakat, khususnya golongan sasar, memahami isu dan dasar kerajaan.

“Dalam mesyuarat, saya selalu pesan, gunalah bahasa yang senang difahami dan jangan terlalu guna ‘bahasa Putrajaya’. Saya mahu semua unit komunikasi korporat memperbaiki kaedah penyampaian agar jurang komunikasi dapat dikurangkan,” katanya.

Menurut beliau, jurang komunikasi antara kerajaan dan rakyat sering berpunca daripada gaya bahasa yang tidak menepati kumpulan sasaran, termasuk perbezaan generasi.
“Kita perlu menyesuaikan cara komunikasi agar semua pihak golongan muda, separa tua atau tua, dapat memahami dengan jelas,” katanya.

Mengambil contoh Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), beliau berkata bahasa penyampaian sering terlalu rumit, seolah-olah ditujukan kepada golongan profesional atau pegawai kanan kerajaan, sedangkan majoriti rakyat memerlukan penerangan dalam bahasa mudah.

“Apabila timbul isu SST, penjelasan sering dibuat seakan-akan untuk profesor, pegawai tinggi kerajaan atau mereka yang berlatar belakang kewangan dan perakaunan. Hakikatnya, 85 peratus orang di luar sana hanya mahukan bahasa biasa-biasa, bahasa orang kita,” katanya.

Beliau kemudiannya melancarkan Pekeliling Pendigitalan Perkhidmatan Awam sebagai langkah memperkukuh tadbir urus digital dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Pelancaran ini selaras dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) di bawah Teras Keempat yang memberi fokus kepada peningkatan kualiti penyampaian, merungkai kerenah birokrasi dan memudahkan prosedur pentadbiran, selaras dengan aspirasi ILTIZAM.

Empat pekeliling baharu diperkenalkan meliputi pengurusan portal dan laman web agensi sektor awam, perkhidmatan rangkaian telekomunikasi bersepadu kerajaan (MyGov*Net), tadbir urus komunikasi dan kolaboratif bersepadu kerajaan (MyGovUC), serta dasar prasarana kunci awam kerajaan (MyGPKI) bagi memperkukuh keselamatan data dan maklumat ICT kerajaan.

Langkah ini dijangka memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan lebih pantas, selamat, responsif dan mesra rakyat, selaras dengan aspirasi ARPA, ILTIZAM dan visi Negara Digital.-12/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button