FOKUS

23 Ogos di Dataran Merdeka… Suara Malaysia untuk Palestin

Rakyat Malaysia seluruh negara dijemput hadir dalam Majlis Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza sebagai tanda sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin yang berlangsung di Dataran Merdeka pada 23 Ogos ini.

Majlis tersebut yang diadakan bermula pukul 6.30 petang hingga 11.30 malam itu bersempena Karnival Sumud Nusantara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan kehadiran rakyat Malaysia ke majlis tersebut sebagai tanda cinta, doa dan solidariti buat saudara seagama di Palestin.

“Ayuh, rakyat Malaysia, kita himpunkan hati-hati yang cintakan kebenaran, satukan suara-suara yang mendamba keadilan.

“Mari kita berdiri sebaris, sejiwa dan sepadu dalam Majlis Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza.

“Kehadiran anda bukan sekadar langkah menuju Dataran Merdeka tetapi langkah menuju persaudaraan sejagat dan bukti bahawa Palestin sentiasa hidup di hati kita.

“Marilah kita zahirkan kasih sayang, keberanian dan tekad, agar dunia mengerti bahawa umat ini tidak pernah berpaling daripada nasib saudaranya,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan program solidariti besar-besaran buat rakyat Palestin bakal diadakan selama tiga hari di Dataran Merdeka, bermula 22 hingga 24 Ogos ini.

Menurut beliau, ‘Malam Malaysia Bersama Gaza’ pada 23 Ogos dijangka menarik kehadiran lebih 100,000 orang.

“Saya dimaklumkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bahawa mereka menjangkakan kehadiran melebihi 100,000 orang.

“Ini bukti jelas keprihatinan rakyat Malaysia terhadap isu Gaza dan solidariti terhadap rakyat Palestin,” katanya.

“Pada pukul 11 malam, 23 Ogos nanti, Perdana Menteri sendiri akan hadir untuk memberi sokongan yang padu kepada acara yang mengingatkan kita tentang pendirian teguh Malaysia menyokong Palestin, khususnya Gaza,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, program itu bukan sekadar medan solidariti, tetapi turut menampilkan tayangan khas dan pameran sejarah perjuangan rakyat Palestin dari dahulu hingga kini.-13/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button