TAHUKAH ANDA

Kematian Zara Qairina… Pembangkang minta penjelasan polis

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang menuntut penjelasan pihak polis mengenai kes membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, Zara Qairina Mahathir.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menuntut penjelasan pihak polis mengapa bedah siasat ke atas jenazah Allahyarham Zara Qairina gagal dilaksanakan di peringkat awal susulan kematian pelajar itu.

Perkara itu dibangkitkan Takiyuddin sewaktu membahaskan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Tegas beliau, proses bedah siasat seharusnya dijalankan tanpa sebarang permintaan daripada mana-mana pihak.

“Itu adalah prosedur biasa dalam kes kematian mengejut. Tapi dalam hal ini, kita nak tahu kenapa pihak polis tidak menjalankan bedah siasat ini,” katanya.

Menyentuh hal sama, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) ketika mencelah bertanyakan kepada Takiyuddin sama ada beliau bersetuju dengan cadangan untuk menggesa Ketua Polis Negara mengarahkan siasatan menyeluruh bagi mengetahui punca dan inti pati kelemahan dalam siasatan terdahulu.

“Setujukah Yang Berhormat Kota Bharu supaya siasatan ke atas siasatan sebelum ini hendaklah merangkumi perkara-perkara seperti mengenal pasti pegawai dan anggota polis yang terbabit dalam siasatan yang tidak dilaksanakan dengan sempurna itu.

“Mengenal pasti individu yang mengeluarkan arahan yang membawa kepada kelemahan siasatan dan menentukan sama ada terdapat campur tangan daripada mana-mana pihak luar yang mengakibatkan kelemahan siasatan berkenaan, serta menetapkan tindakan tatatertib atau hukuman terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan pelanggaran prosedur atau salah laku,” katanya lagi.

Sejurus kemudian, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang turut bangkit, memaklumkan dalam kes Zara Qairina, sememangnya berlaku pengabaian secara terang-terangan kepada proses dan prosedur kes.

“Ini yang mengundang persepsi dan tanggapan rakyat, seolah-olah ada sesuatu yang disembunyikan. Sebab itu, teguran daripada masyarakat perlu diambil kira,” katanya.

Takiyuddin kemudian meminta supaya perkara dibangkitkan rakan-rakannya itu dimasukkan ke dalam perbahasan beliau.

Semalam, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dilapor menghantar satu pasukan siasatan khas ke Kontinjen Sabah bagi mengambil alih siasatan kes kematian Zara Qairina.

Jenazah Allahyarham dibedah siasat selama lapan jam di Hospital Queen Elizabeth (HQE) kelmarin selepas jasadnya digali semula pada petang Sabtu dan dikembalikan ke pusara asalnya tengah malam kelmarin di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang.

Allahyarham sebelum ini ditemui tidak sedarkan diri dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di hospital sehari selepas itu.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dalam laporan media pada 31 Julai lalu, polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kejadian berkenaan.-13/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button