
Tiada kompromi… Pembuli boleh dibuang universiti mulai 2024
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk buli atau kekerasan yang berlaku di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) terutama di bawah seliaan KPT.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya juga tidak akan melindungi pelaku serta akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional bagi sebarang kes buli yang dilaporkan berlaku di IPT.
Katanya, KPT turut menyatakan komitmen untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di kampus sentiasa terpelihara.
Menurutnya lagi, KPT memandang serius isu buli sama ada di IPT Awam mahupun Swasta.
“Statistik untuk 11 tahun iaitu dari 2014 hingga 2025 mencatatkan sebanyak 31 kes buli telah dilaporkan berlaku di lapan buah Universiti Awam (UA) dan tindakan telah diambil di peringkat pengurusan universiti masing-masing.
“Kes berlaku dalam bentuk buli fizikal dan buli siber yang boleh berpunca daripada faktor sosial, psikologi, persekitaran kampus, pengaruh media sosial dan kurangnya pengawasan daripada ibu bapa.
“Dalam konteks UA, sekiranya pelajar terlibat dalam kes buli, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 3(1)(a)(ii), Kaedah-kaedah (Tatatertib Pelajar) yang telah diseragamkan melalui pindaan yang dibuat pada tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamudden pada persidangan Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Zambry berkata, kaedah-kaedah ini juga memperuntukkan hukuman berdasarkan tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan.
Menurutnya, seseorang pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan buli di bawah Kaedah-kaedah ini boleh dikenakan satu atau mana-mana gabungan dua atau lebih hukuman yang sesuai.
“Antaranya seperti amaran; khidmat masyarakat mengikut peraturan-peraturan yang dibuat oleh Lembaga yang tidak melebihi 24 jam; denda tidak melebihi RM500; dilarang daripada berada di dalam mana-mana bahagian Kampus bagi suatu tempoh sebagaimana yang ditentukan oleh pihak berkuasa tatatertib; dibuang atau dilarang untuk tinggal di dalam desasiswa; digantung daripada menjadi seorang pelajar Universiti bagi suatu tempoh; ataudibuang daripada Universiti.
“Manakala bagi Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) pula, Seksyen 33 Akta IPTS 1996 [Akta 555] memperuntukkan secara jelas tanggungjawab Ketua Eksekutif IPTS dalam menjalankan penyeliaan am termasuk berkaitan kebajikan dan disiplin di institusi berkenaan meliputi usaha pencegahan dan pengendalian kes buli secara menyeluruh,”‘ katanya.
Sementara itu, Zambry berkata, KPT turut mengambil beberapa langkah untuk mengatasi gejala ini serta mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di semua universiti awam secara menyeluruh.
“Antaranya penerapan budaya zero tolerance terhadap buli; mekanisme sistem pelaporan kes buli dan penambahbaikan sistem keselamatan kampus melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih meluas.
“Selain itu, pelaksanaan program kesedaran dan pendidikan buli; penekanan terhadap pembinaan sahsiah, etika dan latihan kepimpinan bagi menyokong kemenjadian mahasiswa yang lebih bersifat positif dan Standard Operating Procedure (SOP) dan pembangunan garis panduan pengurusan salah laku buli,” katanya.-13/8/2025