SUARA PEMBACA

Kerajaan perkukuh kempen internet selamat, kawal harga borong 5G

Kerajaan terus memperkukuh usaha memastikan rakyat menikmati capaian internet berkelajuan tinggi yang selamat serta mampu milik.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Kempen Internet Selamat yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi tumpuan meningkatkan kesedaran masyarakat, termasuk pelajar sekolah, mengenai ancaman dalam talian seperti penipuan, spam dan buli siber yang semakin berleluasa.

“Bila kita menyediakan internet yang laju, laju manfaat, laju juga mudarat. Sebab itu kita laksanakan Kempen Internet Selamat untuk meningkatkan pemahaman rakyat terhadap kemudaratan dalam talian,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Selain keselamatan siber, Fahmi menjelaskan kerajaan turut memastikan capaian internet berkelajuan tinggi kekal mampu milik.

Antaranya, dengan menetapkan harga borong rangkaian 5G kedua yang diuruskan UMobile tidak melebihi 13 sen bagi setiap Gbps.

“Kita mahu internet bukan sahaja laju, tetapi juga boleh dimanfaatkan oleh rakyat. Itulah sebabnya harga borong 5G dihadkan supaya perkhidmatan kekal mampu milik,” ujarnya.

Inisiatif ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memperluas liputan digital dan mengurangkan jurang teknologi, terutama di kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, Fahmi berkata kerajaan memberi jaminan liputan teknologi 5G di Sarawak tidak akan terhad kepada bandar Utama, sebaliknya akan diperluas ke kawasan luar bandar bagi merapatkan jurang digital di negeri ini.

Menurutnya MCMC kini bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan kemudahan sedia ada seperti projek pembinaan 600 Menara telekomunikasi di bawah inisiatif Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) dapat dilaksanakan dengan baik.

“Buat masa ini, ia dilaksanakan bagi tujuan rangkaian 4G. Namun dalam pelaksanaan Fasa 2, saya telah mengarahkan MCMC meneliti sama ada Menara di bawah projek JENDELA 1 dan SMART 600 boleh dimanfaatkan untuk memperluas rangkaian 5G,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, mengenai langkah kementerian memastikan teknologi 5G di Sarawak turut dinikmati komuniti luar bandar, serta sama ada terdapat penetapan KPI khusus dan sasaran masa bagi liputan 5G di Sarawak.

Jelasnya, cabaran Utama pelaksanaan 5G di luar bandar adalah memastikan kelajuan penghantaran data yang stabil, selain membangunkan kluster Menara bagi mencapai kelajuan optimum.

Menurut beliau, usaha memanfaatkan ekonomi digital tidak hanya bergantung kepada 5G semata-mata kerana rangkaian 4G dan penggunaan internet satelit (VSAT) juga telah banyak membantu komuniti luar bandar.

“Dari semasa ke semasa, kementerian akan meneliti kaedah penambahbaikan kemudahan ini bagi memastikan internet dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kemakmuran di peringkat setempat,” ujarnya.-13/8/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button